Semangat Korea dalam diri Fatin Alawiah

1 day ago 14

BAGI sesetengah wanita, meninggalkan kerjaya yang stabil demi mengejar sesuatu yang belum pasti mungkin dianggap satu keputusan berisiko.

Namun, bagi Fatin Alawiah Amiruddin, 53, keputusan itu akhirnya menjadi titik tolak kepada perjalanan yang mengubah seluruh hidupnya.

Daripada dunia perbankan yang menjanjikan kestabilan, wanita kelahiran Kuala Terengganu itu memilih untuk membuka lembaran baharu dalam bidang yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan latar belakang akademiknya iaitu kecantikan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari De Montfort University, Leicester, England ini sanggup meninggalkan bidang perbankan demi impian memiliki bisnes sendiri.

Dia yang mesra disapa Fatin perlu belajar hampir segala-galanya dari bawah sebelum akhirnya berjaya membawa jenama penjagaan kulit Korea Selatan, Miguhara ke pasaran Malaysia menerusi syarikatnya, Soora Beauty.

Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan sebuah jenama Korea, tetapi Fatin berjaya membuktikannya sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati manfaat kecantikan daripada label yang cukup popular di bumi kimchi itu serta menjadi inspirasi ramai.

“Saya percaya setiap perjalanan yang Allah tentukan mempunyai hikmah tersendiri,” katanya ringkas sebagai pembuka bicara bersama K-Wanita.

Wanita berasal dari Kuala Terengganu ini mengagumi penjagaan kecantikan wanita Korea dan menyematkan semangat serta nilai masyarakat Korea dalam dirinya.

Menyorot kembali, dia menerima pendidikan awal di negeri kelahirannya sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak.

Selepas itu, dia mengikuti pengajian perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sebelum menyambung pengajian ke England.

Akuinya, pengalaman menuntut ilmu di luar negara antara fasa penting yang membentuk dirinya sebagai seorang yang lebih berdikari, sistematik dan berdisiplin.

Selepas menamatkan pengajian, Fatin membina kerjaya dalam sektor perbankan yang sememangnya menawarkan kehidupan lebih stabil. Namun, jauh di sudut hati, dia sentiasa menyimpan impian untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Kerjaya dalam sektor perbankan sememangnya stabil, namun saya sentiasa menyimpan hasrat untuk membina perniagaan sendiri,” ungkapnya.

KEinginan itu bukan sekadar mahu memiliki perniagaan, sebaliknya mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu ramai individu yang berdepan masalah kulit mendapatkan penyelesaian berkualiti.

Bagi ibu tiga cahaya mata ini, kecantikan juga tidak seharusnya dilihat sekadar soal penampilan luaran semata-mata.

“Kecantikan bukan sekadar penampilan tetapi juga keyakinan diri, terutama bagi wanita bekerjaya yang sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran setiap hari,” katanya.

Fatin (tiga dari kiri) bersama Top 5 Radiance Women Soora Miguhara 2026, sebuah program syarikat dalam meraikan wanita berinspirasi antaranya selebriti tanah air.

Menyedari perlu bermula dari bawah, Fatin berkata, macam-macam yang dilakukan termasuk menghadiri pelbagai kelas, mendapatkan bimbingan, mengkaji strategi perniagaan dan melakukan penyelidikan pasaran.

Pada masa sama, dia turut mendalami ilmu mengenai bahan-bahan dalam produk penjagaan kulit kerana sedar pengetahuan perlu sentiasa diperbaharui dalam industri yang berkembang pantas.

“Saya percaya ilmu perlu sentiasa ditambah kerana industri kecantikan pantas berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Daripada proses pembelajaran tersebut, perjalanan Fatin akhirnya menemukannya dengan label penjagaan kulit dari Korea Selatan itu yang kemudiannya mengubah arah perniagaannya.

“Ketika itu, niat saya hanya mahu menjalankan apa-apa perniagaan biasa atau kecil sahaja.

“Namun, perancangan Allah jauh lebih indah,” kata Fatin.

Ceritanya, dia sebelum itu pernah menghubungi pihak Miguhara di Korea Selatan sebelum membentangkan perancangan pemasaran untuk pasaran Malaysia.

Usaha dan keberanian tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila mereka memberikan kepercayaan kepada Fatin dan pasukannya untuk membawa jenama itu ke Malaysia.

“Alhamdulillah, mereka memberi kepercayaan kepada kami dan ia secara rasmi masuk ke Malaysia bermula tahun 2022,” katanya.

Namun, memperoleh kepercayaan sebuah jenama antarabangsa bukan semudah disangka. Fatin dan pasukannya perlu membuktikan bahawa mereka serius dalam membangunkannya serta mempunyai komitmen untuk mendidik pengguna mengenai produk penjagaan kulit.

Jelas Fatin, media sosial menjadi antara platform utama untuk mendidik pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat, selain membina hubungan lebih rapat dengan pelanggan.

Dari situ jugalah wanita ini memberanikan diri untuk membuat siaran langsung (live) di media sosial dan akhirnya semakin dikenali ramai dan mengumpul pengikut.

Akuinya, berada di hadapan kamera bukan sesuatu yang mudah baginya kerana dia memang tidak gemar bercakap di hadapan orang ramai.

“Sebenarnya saya bukan seorang yang gemar bercakap di depan khalayak.

“Namun, tuntutan sebagai usahawan membuatkan saya perlu keluar daripada zon selesa dan tidak boleh malu.

“Apabila tanggungjawab memerlukan saya berkongsi ilmu dan membantu pelanggan memahami sesuatu produk, saya akan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Biarpun meninggalkan dunia perbankan, Fatin berkata, pengalaman yang ditimba dalam bidang itu juga banyak membantunya lebih memahami bisnes.

“Sebelum ini saya mempunyai pengalaman dalam bidang perbankan, khususnya dalam pembiayaan mikro. Pada waktu itu, saya bertanggungjawab menguruskan performance pembiayaan mikro di seluruh Malaysia dan memastikan target yang telah ditetapkan dapat dicapai.

“Jadi, peranan saya bukan sekadar melihat angka atau memantau prestasi, tetapi saya perlu melihat strategi dan apa yang boleh dilakukan untuk memastikan pencapaian berada pada tahap yang sepatutnya,” terangnya.

Kata pencinta kucing itu lagi, dirinya juga terlibat dalam pengurusan geran digitalisasi, termasuk memastikan proses pelaksanaan geran berjalan dengan baik serta menguruskan pembayaran kepada vendor-vendor yang dilantik.

Selain itu, dia turut terlibat dalam product development, di mana pasukannya mengenal pasti keperluan dan cabaran peniaga mikro serta melihat apakah produk atau solusi yang boleh dibangunkan untuk membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan dengan lebih mudah.

“Pengalaman itu sebenarnya banyak beri saya pemahaman tentang realiti dan keperluan peniaga, terutama bagaimana akses kepada pembiayaan, digitalisasi dan solusi yang tepat boleh membantu mengembangkan perniagaan,” katanya.

Suatu yang tiada siapa boleh menyangkal ialah sinonimnya Korea dengan industri kecantikan. Bagi Fatin, bila kita bercakap tentang Korea, memang industri kecantikan mereka antara perkara yang sangat menonjol.

“Mereka sangat menitikberatkan penjagaan kulit, bukan semata-mata untuk nampak cantik tetapi untuk memastikan kulit sentiasa kelihatan sihat, terjaga dan glowing.

“Saya sendiri kagum melihat bagaimana penjagaan kulit sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka. Kita boleh lihat wanita yang lebih berusia pun masih mempunyai kulit yang sangat cantik dan terjaga. Dari situ saya nampak bahawa kecantikan bukan hanya tentang usia, tetapi tentang bagaimana kita menjaga diri secara konsisten,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, Korea juga sangat maju dari segi teknologi dan inovasi dalam industri kecantikan. Mereka sentiasa melakukan kajian dan menghasilkan formulasi yang menggabungkan teknologi dengan pemilihan bahan yang baik.

“Bagi saya, apabila kita memilih skincare, bukan sekadar mahu hasil yang cepat, tetapi kita juga perlu tahu dan yakin dengan apa yang kita gunakan pada kulit.

“Sebab akhirnya, bila kulit kita berada dalam keadaan yang baik, secara tidak langsung ia boleh meningkatkan keyakinan diri.

“Bagi saya, membawa Miguhara bukan sekadar membawa produk kecantikan Korea ke Malaysia. Saya mahu membawa sekali idea bahawa menjaga diri itu adalah satu bentuk self-investment. Kita mahu wanita rasa cantik, tetapi dalam masa yang sama rasa lebih yakin dengan diri sendiri.” katanya

Satu lagi perkara yang dikagumi Fatin tentang Korea adalah semangat dan disiplin mereka. Masyarakatnya sangat konsisten dan bersungguh-sungguh dalam apa yang mereka lakukan.

“Itu juga nilai yang saya cuba bawa dalam perjalanan saya sendiri, kalau ada cabaran, kita usaha, kita belajar dan kita cari jalan untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Berkongsi dari segi cabaran dalam perniagaan, antara yang dihadapinya pada awalnya adalah membina kepercayaan pengguna.

Hampir lima tahun membina bisnes, Fatin akui adalanya berdepan detik sukar sehingga ada ketika hampir berputus asa. Namun, dia tidak pernah menganggap keputusan meninggalkan kerjaya makan gaji sebelum itu sebagai satu kesilapan yang harus disesali.

“Sudah tentu ada saat-saat yang mencabar sehingga saya hampir berputus asa. Namun, saya tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya lama kerana saya percaya setiap cabaran adalah proses pembelajaran yang mematangkan seseorang,” katanya.

Di sebalik perjalanan tersebut, Fatin mengakui kejayaan sebagai usahawan datang bersama pengorbanan yang besar, terutama dari segi masa.

Dalam melalui segala cabaran tersebut, suami menjadi individu paling banyak memberi sokongan kepada dirinya, diikuti ahli keluarga dan sahabat.

“Impian saya untuk melihat Soora Beauty memiliki pusat K-Beauty atau flagship store sendiri di Malaysia yang menjadi destinasi utama pencinta produk kecantikan Korea,” tuturnya yang juga mahu menghasilkan barisan jenama penjagaan kulit sendiri yang diformulasikan dan dihasilkan dari Korea.

Read Entire Article
Pertanian | | | |