PETALING JAYA – Seramai 20 tokoh dan orang kenamaan termasuk berstatus VVIP kini ‘terperangkap’ dalam senarai individu bankrap berdasarkan data terkini Jabatan Insolvensi Malaysia.
Golongan berkenaan bukan sahaja membabitkan ahli perniagaan terkenal dan tokoh korporat, malah turut melibatkan bekas ahli politik yang pernah berada di Dewan Rakyat.
Selain itu, terdapat juga individu dalam kalangan golongan bangsawan termasuk kerabat diraja serta bekas menteri Kabinet yang pernah disenaraikan sebagai individu bankrap.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia, Fajrul Shihar Abu Samah berkata, kesemua individu berkenaan kini berada di bawah pemantauan pihaknya, manakala aset mereka ditadbir oleh jabatan tersebut.
Ini termasuklah ada aset dan harta seperti kenderaan mewah dan barang kemas yang melalui proses lelongan awam dan kontrak persendirian.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan individu terbabit diisytiharkan bankrap antaranya berkaitan pinjaman perniagaan, pinjaman peribadi dan pinjaman korporat.
“Selain itu, ada juga yang menjadi ‘mangsa’ apabila nama mereka digunakan sebagai penjamin,” katanya kepada Kosmo!.
Fajrul Shihar berkata, data jabatan turut mendapati terdapat juga tokoh korporat terkenal yang pernah disenaraikan sebagai bankrap, namun masih berjaya mendapatkan pinjaman atau kemudahan kredit baharu.
“Menurutnya, perkara itu boleh berlaku kerana kelulusan pinjaman adalah tertakluk kepada pertimbangan dan penilaian pihak pemberi pinjaman, termasuk berdasarkan profil serta kedudukan individu berkenaan dalam dunia perniagaan,” katanya.
Katanya lagi, terdapat dalam kalangan individu tersebut yang bergelar Datuk dan Datuk Seri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, status bankrap bukanlah sesuatu yang kekal kerana individu yang diisytiharkan muflis masih mempunyai peluang untuk mendapatkan pelepasan.
Tambahnya, terdapat empat kaedah bagi seseorang yang diisytiharkan bankrap untuk keluar daripada status tersebut.
“Antaranya ialah pelepasan automatik selepas tiga tahun tertakluk kepada syarat ditetapkan, pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi selepas lima tahun dan memohon pelepasan melalui Mahkamah Tinggi pada bila-bila masa selepas perintah kebankrapan.
“Dalam keadaan tertentu, perintah kebankrapan juga boleh dibatalkan sekiranya semua hutang dan kos pentadbiran telah dijelaskan atau perintah tersebut didapati tidak sepatutnya dibuat,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Insolvensi Malaysia turut melancarkan Program Dasar Peluang Kedua – Pelepasan Fast Track 2026 pada Februari lalu bagi mempercepatkan proses pelepasan untuk empat kumpulan sasaran.
Ia termasuk ibu atau bapa tunggal, peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan serta pembeli rumah daripada projek terbengkalai.
Dalam pada itu, Fajrul Shihar memberitahu, apabila seseorang diisytiharkan bankrap, semua harta dan aset individu tersebut akan ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia untuk dihasilkan sebelum hasilnya dibayar kepada pemiutang.
Katanya, kebiasaannya aset berkenaan dihasilkan menerusi proses lelongan awam dan kontrak persendirian.
“Pada 31 Julai lalu hingga 2 Ogos, kita mengadakan lelongan awam di Melaka membabitkan 79 aset termasuk kenderaan, hartanah dan barang kemas bernilai lebih RM16.9 juta.
“Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus aset berjaya dilelong dengan hasil lelongan berjumlah RM3.6 juta,” katanya.

16 hours ago
8
















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)