MELAKA – Sebanyak 3,210 premis makanan dan minuman di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah setakat Julai lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, jumlah itu meningkat berbanding 3,182 pendaftaran pada tahun 2025 dengan penyertaan tertinggi membabitkan peniaga gerai makanan atau medan selera iaitu sebanyak 1,016 pendaftaran.
“Menu Rahmah bukan sekadar satu program sementara, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan aspek kos sara hidup rakyat terus diberi perhatian.
“Setakat Julai 2026, sebanyak 3,210 premis makanan dan minuman di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah, merangkumi peniaga kedai makan, restoran makanan segera, penjaja, trak makanan dan bazar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mini Karnival KPDN Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Ujarnya, peningkatan penyertaan tersebut membuktikan semakin ramai pengusaha makanan bersedia untuk bersama-sama kerajaan dalam membantu menyediakan pilihan makanan pada harga lebih berpatutan kepada rakyat.
Dalam pada itu Fuziah berkata, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan 19,322 pelaksanaan sehingga Julai lalu, melebihi sasaran 17,500 pelaksanaan pada tahun ini.
“Program ini juga merekodkan transaksi sebanyak 25,486,997 di seluruh negara. Pelaksanaan PJRM melibatkan kawasan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan, dengan tumpuan kepada kawasan berkeperluan tinggi dan komuniti yang memerlukan.
“Bagi KPDN, pendekatan tersebut penting supaya manfaat inisiatif kos sara hidup tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau pusat komersial, sebaliknya turut dinikmati oleh masyarakat di kawasan luar bandar dan lokasi yang sukar mendapatkan akses kepada jualan harga rendah,” katanya.
Terdahulu, Mini Karnival KPDN tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam menyediakan pelbagai aktiviti pentas, pertandingan dan kejohanan sukan elektronik (e-Sukan), selain jualan pada harga berpatutan yang ditawarkan seramai 27 peniaga.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5
















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)