‘Keras, jiwa srikandi Gusti Putri inspirasi saya’

15 hours ago 8

ASYIK dan menggetarkan jiwa, pengumuman pementasan semula muzikal ikonik, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) yang menunggu hari kembali berpencak di lantai teater tanah air sungguh mengujakan.

Sejak khabar diumumkan, ramai peminat mula tertanya-tanya siapa figura yang layak menggantikan tempat penerbit eksekutifnya, Puan Seri Tiara Jacquelina  menterjemahkan watak utama sang puteri kerajaan Majapahit itu.

Siapa sangka, anak kandungnya sendiri iaitu Mila Mohsin diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar membawakan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah secara bergantian (double cast) bersama penyanyi, Aisha Retno.

Namun, pemilihan Mila bukanlah atas dasar faktor nepotisme, sebaliknya dipengaruhi komitmen serta kerja keras ditunjukkannya sepanjang proses persediaan.

Bagi Mila, dia kini sedang memahami jiwa Gusti Putri, namun masih dengan acuan tersendiri.

“Persediaan saya sekarang memang sangat intensif sebab makin dekat dengan pementasan, makin banyak benda kita kena perhaluskan dari segi latihan vokal, lakonan, pergerakan dan stamina.

“Tapi secara peribadi, persediaan saya untuk Gusti Putri bukan hanya teknikal. Saya banyak cuba memahami jiwa dia, cara dia membawa diri, berfikir dan hubungan dengan rakyat Tanah Jawa.

“Salah satu inspirasi saya yang sangat kuat untuk Gusti Putri versi saya ialah srikandi. Dia seorang wirawati dan puteri pejuang.

“Dia adalah inspirasi utama, saya tertarik dengan keberanian, keteguhan, prinsip dan bagaimana kekutan itu tak semestinya perlu ditunjukkan dengan cara yang lantang,” katanya kepada HibGlam.

Demi menghidupkan watak berkenaan dengan lebih berkesan, Mila, 30, mengambil langkah mengunjungi Surakarta, Indonesia bagi mendalami selok-belok budaya Jawa.

“Saya turut mengikut jejak langkah Gusti Putri yang asal juga. Sewaktu bengkel, kami ada beberapa orang guru dari Solo dan mereka memberitahu saya: ‘Awak mesti datang ke Solo untuk rasai sendiri segalanya’.

“Jadi saya ke Solo, baru sahaja pulang minggu lalu dan berada di sana selama lapan hari.

“Memang tak cukup masa, kalau ada kesempatan saya mahu berada berbulan-bulan di sana,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mila kagum apabila masyarakat Jawa masih mengamalkan tradisi serta adat keraton dan menganggap sebagai satu pengalaman mengagumkan.

“Bagi saya sangat penting untuk kita bukan sekadar mempelajari budaya Jawa dari jauh, perkara itu mustahil. Sehingga ke hari ini tradisi dan adat keraton Jawa masih dihidupkan serta diamalkan di sana.

“Jadi saya tahu saya perlu berada di sana untuk merasainya sendiri. Sengaja saya ke sana untuk menyelami diri dengan bahasanya, tengok sendiri cara orang membawa diri, memahami tatasusila dan etika mereka.

“Memang sangat luar biasa. Tak boleh terangkan suasananya, Sangat menakjubkan, pengalaman yang berharga,” luahnya.

MILA Mohsin tidak hanyut dengan kritikan peminat yang menyatakan gerak tubuh versinya untuk karakter Gusti Putri agak ‘keras’ dan akan membuktikan yang terbaik pada pementasan nanti.

Ketakutan

Mila turut mengakui rasa tanggungjawab yang digalasnya kini jauh mengatasi sebarang ketakutan terhadap penerimaan umum.

“Saya lebih takut jika tiba di penghujung perjalanan ini, saya berasa diri ini gagal memberikan sehabis baik buat watak Gusti Putri.

“Semakin saya mendalami watak Gusti Putri, semakin besar rasa tanggungjawab untuk menterjemahkan susuk hebat ini kerana dia merupakan seorang puteri Jawa, seorang pemimpin dan wanita yang sangat berdaulat ke atas dirinya sendiri.

“Pada masa yang sama, watak ini membawa banyak sejarah serta simbolisme buat sesiapa sahaja dalam kalangan penonton yang memerlukan.

“Mungkin ada penonton yang perlu menyaksikan kisah dia, memahami sebab di sebalik setiap keputusannya, serta melihat ketabahan dan keberaniannya,” jelasnya.

Meskipun tiket belum dijual, ramai juga mula mengkritik Mila yang dikatakan pergerakan agak ‘keras’.

Mengulas perkara tersebut, Mila terbuka menerima teguran, namun bersedia memberikan penjelasan sebenar.

“Saya sebenarnya okey sahaja dengan komen-komen itu. Bila saya lihat semula, memang ada bahagian yang saya rasa tak cukup kemas, boleh diperbaiki dan jadi lebih baik.

“Saya perlu berikan sedikit konteks yang mungkin orang tak perasan. Segmen tarian itu sebenarnya langsung tidak diatur atau dilatih (rehearsed). Mungkin ramai yang menonton menganggap tarian itu sudah dirancang lebih awal, tapi sebenarnya langsung tidak,” luahnya.

Penyakit autoimun

Lebih mengejutkan, anak kepada pelakon Allahyarham Hani Mohsin itu mendedahkan mengalami masalah kesihatan sepanjang minggu promosikan PGLM.

“Ada satu lagi perkara yang agak sukar untuk saya bicarakan, tapi ini mungkin kali pertama saya nak cakap secara terbuka mengenainya. Saya sebenarnya menghidap penyakit autoimun (autoimmune disease).

“Saya seorang yang amat menjaga privasi dan suka menyimpan masalah kesihatan diri hanya untuk pengetahuan sendiri, keluarga, dan rakan rapat. Tapi mungkin kali ini saya boleh berkongsi sedikit.

“Kebetulan minggu lepas sewaktu semua acara pemasaran untuk PGLM berjalan, saya sedang mengalami serangan penyakit (flare-up) yang agak serius,” dedahnya.

Enggan mendedahkan lanjut, pelakon drama Good Boys Go To Heaven itu tidak mahu menjadikan masalah kesihatan peribadi sebagai alasan untuk tidak memberikan komitmen sepenuhnya.

“Saya sebenarnya tak nak berkongsi lebih lanjut sebab sangat peribadi buat saya. Kebetulan minggu lepas ada sesi fotografi, pertunjukan fesyen (catwalk) dan pelbagai acara lain.

“Agak mengecewakan dengan pemilihan waktu yang sebegini, tapi apa boleh buat? Saya bukannya mahu jadikan perkara ini sebagai alasan.

“Saya tetap naik ke pentas, tetap buat dan tetap membuat persembahan. Memang ada aspek yang boleh diperbaiki dan saya akan baiki kerana itu tanggungjawab saya sebagai seorang penggiat seni,” tuturnya.

Tambahnya, dia berharap orang ramai lebih memahami keadaan seseorang sebelum melemparkan sebarang tuduhan atau kritikan.

“Namun pada masa yang sama, saya berharap kita semua dapat menyedari bahawa kadang-kadang kita hanya melihat seseorang selama beberapa minit dan terus berasa kita sudah tahu keseluruhan cerita mereka.

“Kita sebenarnya tak tahu apa yang sedang berlaku dalam tubuh fizikal mahupun kehidupan mereka, atau apa yang perlu mereka tempuhi hanya untuk hadir pada hari tersebut.

“Tapi sekurang-kurangnya saya bersyukur perkara ini berlaku sekarang dan bukannya sewaktu pementasan sebenar,” ujarnya.

BERGELUT dengan masalah kesihatan autoimmune disease, Mila enggan menjadikan perihal terbabit sebagai penghalang memberikan yang terbaik pada pementasan PGLM 31 Oktober hingga 15 November 2026 nanti bertempat di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Versi sendiri

Sebelum menggulung bicara, Mila juga menegaskan perkara tersebut dilakukan secara sengaja bagi menterjemahkan karakter keteguhan watak berkenaan.

“Mengenai kritikan pergerakan yang dikatakan ‘keras’, fizikaliti untuk watak Gusti Putri yang sedang saya bina ini memang agak khusus.

“Inspirasi saya adalah jiwa srikandi Gusti Putri. Jadi saya sengaja pilih pergerakan yang menterjemahkan keteguhan, sifat berpijak di bumi nyata serta kewibawaan dia.

“Ini memberikan aura berbeza berbanding watak Gusti versi ibu saya (Puan Seri Tiara Jacquelina) mahupun versi Aisha Retno.

“Kami memang sengaja membentuknya sedemikian rupa supaya kita semua dapat menyaksikan versi Gusti Putri yang pelbagai dan unik,” tutupnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |