Wani Kayrie terbang, ‘sekampung’ meriahkan AJL40

4 hours ago 5

BUKIT JALIL – Penyanyi Wani Kayrie mencuri perhatian pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) apabila membawa ‘sekampung’ bersama dalam persembahan penuh warna, tenaga dan elemen tradisional.

Bukan sekadar beraksi di atas pentas, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, turut memulakan serta menutup persembahannya dengan terbang di udara, sekali gus mencetuskan keterujaan penonton diiringi alunan Cak Cak Cekuk.

Berbusana tradisional serba merah jambu, penyanyi itu tampil bertenaga menghidupkan pentas dengan lenggok serta gerak tari bernuansa tradisi, selari dengan karakter lagu ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.

Aksi Wani turut mendapat perhatian hangat dalam media sosial apabila ramai netizen meramalkan Cak Cak Cekuk berpotensi membawa pulang trofi Persembahan Terbaik, terutama selepas penyanyi berkenaan berjaya menyatukan elemen tradisional dengan sentuhan kreatif dalam persembahannya.

“Masuk sahaja Wani Kayrie, terus rasa macam satu kampung dibawa naik ke pentas AJL. Persembahan dia memang meriah dan penuh tenaga.

“Aksi terbang pada awal dan akhir persembahan itu memang menjadi. Bukan sahaja cantik dipandang, tetapi membuatkan persembahan Cak Cak Cekuk lebih diingati.

“Kalau ikut persembahan setakat ini, Cak Cak Cekuk memang antara calon kuat untuk Persembahan Terbaik. Wani betul-betul beri sesuatu di atas pentas,” tulis beberapa netizen.

Malam kemuncak AJL 40 menyaksikan 10 lagu berentap bagi merebut gelaran juara menerusi karya Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid, Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie) serta Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).

Turut berentap ialah Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) serta Tiwikarma (K.O.I).

Mengangkat tema ‘Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’, AJL 40 sekali lagi menjadi pentas mempertemukan karya daripada pelbagai genre dan generasi dalam meraikan perjalanan industri muzik tempatan.

Edisi kali ini dikendalikan Naz Ahmad bersama Sissy Imann selaku hos, sekali gus menyemarakkan malam penuh bersejarah buat peminat muzik tanah air. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |