Penampilan Biduanita Negara gegarkan pembukaan AJL40

4 hours ago 5

BUKIT JALIL – Penuh kejutan, penonton Anugerah Juara Lagu (AJL) 40 disajikan detik istimewa apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuat kejutan dengan melantunkan lagu popularnya, Cindai, bersama anak saudaranya, Umairah.

Kemunculan Siti Nurhaliza di pentas AJL 40 sekali gus mencuri perhatian khalayak, apatah lagi persembahan berkenaan hadir sebagai pelengkap kepada sambutan empat dekad acara berprestij tersebut.

Aksi dua beranak saudara itu menerima sorakan serta tepukan gemuruh penonton sebaik alunan Cindai bergema memenuhi ruang dewan, sekali gus mencetuskan momen nostalgik selain memperlihatkan kesinambungan warisan muzik antara generasi.

Sebelum itu, pentas pembukaan AJL 40 diterajui Pengarah Muzik, Aubrey Suwito dengan menampilkan deretan penyanyi berpengalaman serta generasi baharu.

Antara nama diberi tanggungjawab membuka tirai ialah Datuk Francissca Peter menerusi Sekadar Di Pinggiran, Misha Omar dengan Bunga-Bunga Cinta, Haqiem Rusli (Jampi), Syamel dan Ernie Zakri menerusi medley Isabella & Gemilang, serta Azlan (Lagu Untukmu).

Kemunculan Siti bersama Umaira selepas itu menambahkan lagi kemeriahan persembahan pembukaan, malah pilihan barisan penyanyi berkenaan dilihat cukup bertepatan dengan tema AJL 40, Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia.

Malam kemuncak AJL 40 turut menyaksikan 10 lagu berentap bagi merebut gelaran juara, terdiri daripada Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid, Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie) serta Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).

Turut berentap ialah Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) dan Tiwikarma (K.O.I).

Sebagai acara muzik tahunan paling berprestij, AJL 40 sekali lagi menjadi medan mempertemukan pelbagai generasi penggiat muzik tempatan, selain meraikan evolusi muzik Malaysia sepanjang empat dekad.

AJL 40 dikendalikan Naz Ahmad bersama Sissy Imann sebagai hos, sekali gus menghidupkan pentas menerusi gabungan elemen nostalgia, muzik semasa dan persembahan berkonsepkan masa depan industri muzik tempatan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |