‘Nujum’ Neelofa kembali, pilih Aina, Aisha, K.O.I ungguli AJL40

12 hours ago 6

PETALIN JAYA – Seperti kelaziman setiap tahun, selebriti Neelofa kembali mencuri perhatian dengan ramalan lagu pilihan untuk menduduki kelompok tiga terbaik Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), malam ini.

Tanpa memperincikan kriteria penilaian atau alasan di sebalik pilihannya, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, menjaguhkan lagu Kamu dendangan Aina Abdul sebagai calon utama membawa pulang trofi juara.

Selain itu, isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail atau PU Riz itu turut menyenaraikan Tak Adil nyanyian Aisha Retno serta Tiwikarma oleh K.O.I sebagai dua lagi karya pilihan untuk mengisi kelompok teratas pentas berprestij tersebut.

Bukan itu sahaja, dia jua turut menzahirkan keterujaan menantikan persembahan Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie pada malam kemuncak nanti.

Ramalan bekas pengacara MeleTOP itu sememangnya sering menjadi perhatian peminat AJL memandangkan rekodnya sebelum ini cukup mengagumkan apabila tekaannya tepat selama sembilan edisi berturut-turut, bermula AJL31 hingga AJL39.

Namun, rentetan tersebut pernah terhenti pada AJL35 apabila Semalam nyanyian Aina Abdul, pilihan Neelofa ketika itu, gagal meraih kejuaraan selepas trofi utama menjadi milik Gila, ciptaan Noki, Loca B dan Kaka Azraff.

Bagaimanapun, ramalan selebriti itu kembali menjadi kenyataan pada AJL36 apabila Pelukan Angkasa dendangan Shila Amzah bersama Kumpulan Orang Gila (SOG) dinobatkan sebagai juara.

Pada AJL37 pula, tekaannya sekali lagi tepat apabila Terus Hidup, ciptaan Aina Abdul, berjaya mengungguli saingan.

Tidak berhenti di situ, ramalan Neelofa untuk AJL39 turut mengena apabila Hening Rindu nyanyian Marsha Milan dan Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera masing-masing berjaya mencuri perhatian serta kedudukan dalam pertandingan.

Selain AJL, ibu kepada dua cahaya mata itu juga pernah membuat ramalan bagi beberapa acara hiburan berprestij lain, termasuk Anugerah Bintang Popular.

AJL merupakan pentas pengiktirafan buat komposer dan penulis lirik menerusi karya terbaik, selain menilai persembahan serta kemampuan vokal penyanyi dalam mempertaruhkan karya masing-masing.

Sebanyak 10 lagu bakal berentap pada malam kemuncak AJL40, terdiri daripada Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid) Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie) Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).

Selain itu, Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah) Nurcinta (Amir Masdi) serta Tiwikarma (K.O.I) –  KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |