Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah

15 hours ago 8

BAGAN SERAI – Tiga beranak warga Rohingya ditemui rentung apabila rumah didiami mereka di Jalan Maju 4, Taman Serai Maju, di sini, terbakar awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Pusat Gerakan Operasinya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.17 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, BBP Kuala Kurau, serta Pasukan Bomba Sukarela Bagan Serai ditugaskan ke lokasi kejadian dengan jentera pertama tiba di tempat kejadian pada pukul 5.30 pagi.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah rumah jenis sedang marak terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 70 peratus.

“Rumah ini dihuni seramai tujuh orang warga asing dan merupakan sebuah rumah yang mempunyai dua buah bilik,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd. Yunus Nor Ali, 27, dan dua orang anaknya iaitu Muhammad Woheed, 6, dan Mohamad Aheed, 3.

Sayani berkata, seorang mangsa wanita iaitu isteri mangsa, Saniya Jahan Juma Abul Kasim, 24, ditemui di luar rumah dalam keadaan mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan dan kaki.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan bahawa suami dan dua orang anaknya masih terperangkap di dalam premis berkenaan sebelum pasukan bomba segera memulakan operasi.

“Mangsa wanita yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital. Anggota penyelamat kemudiannya menjalankan operasi mengesan mangsa di dalam rumah,” katanya.

Susulan itu, Sayani berkata, tiga orang mangsa telah ditemui di dalam sebuah bilik pertama yang sedang terbakar.

“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.20 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.35 pagi. Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Forensik Kebakaran dari Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Perak yang dianggotai oleh enam orang pegawai telah tiba di lokasi.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan di tempat kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian.

“Berdasarkan maklumat dan penemuan awal oleh Pasukan Forensik Kebakaran JBPM, kebakaran bermula di dalam bilik pertama iaitu bilik di mana mangsa yang ditemui terbakar. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |