Perkeso perkenal MYFutureJobs Ambassador, ‘Oyen’ jadi maskot rasmi

8 hours ago 5

MELAKA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan MYFutureJobs Ambassador dalam kalangan mahasiswa bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya serta inisiatif MYFutureJobs.

Pelancaran duta berkenaan turut memperkenalkan ‘Oyen’ sebagai maskot rasmi dalam usaha memperkukuh keterlibatan belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pengenalan MYFutureJobs Ambassador bertujuan untuk memperluaskan lagi penyampaian maklumat secara lebih dekat dalam komuniti kampus.

RAMANAN bergambar bersama hadirin yang hadir pada Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh.

Menurut beliau, ia memberi ruang kepada pelajar mendapatkan pendedahan berkaitan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya berdasarkan keperluan industri.

“Ini adalah yang pertama dan kita telah lancarkan Oyen tadi sebagai maskot kita. Kita juga telah terangkan peluang-peluang yang disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia berdasarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) upskilling dan reskilling.

“Karnival ini memberi ruang kepada mereka bertanya mengenai peluang pekerjaan yang disediakan dalam bidang tertentu serta memberikan peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang berdasarkan kemahiran diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, pada program itu, satu sesi dialog bersama Ramanan yang dihoskan selebriti Amelia Henderson turut diadakan bagi memberi peluang kepada mahasiswa membangkitkan persoalan termasuklah mengenai hala tuju kerjaya, pengangguran serta kebimbangan sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Ramanan berkata, karnival tersebut mendapat penyertaan lebih 20 majikan dengan menyediakan kira-kira 2,100 peluang pekerjaan kepada pencari kerja yang hadir.

Katanya, bidang TVET kini bukan lagi pilihan kedua sebaliknya semakin menjadi pilihan utama berikutan peluang kerjaya serta potensi pendapatan yang ditawarkan.

“TVET ini sekarang bukan pilihan kedua, ia sedang menjadi pilihan nombor satu. Gaji permulaan seperti yang saya katakan RM4,000 dan boleh pergi sehingga RM18,000 malah RM30,000.

“Di bawah Adtec Jabatan Tenaga Manusia (JTM), kadar kebolehpasaran pekerjaan mencapai 95.5 peratus manakala 97.2 peratus majikan berpuas hati dengan mereka, menunjukkan kemahiran yang diberikan menepati kehendak industri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Oyen, beliau berkata ia merupakan pendekatan kreatif bagi menarik perhatian generasi muda terhadap perkhidmatan serta peluang yang ditawarkan melalui MYFutureJobs.

Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu menyediakan akses kepada peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan bimbingan kerjaya.

Program itu turut menggabungkan Karnival Kerjaya, Bicara Aspirasi Belia, CEO Talk, MYFutureJobs Rovers serta aktiviti e-sukan bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada peserta.

Menerusi Karnival Kerjaya, peserta berpeluang mendapatkan padanan pekerjaan secara langsung, menghadiri temu duga terbuka, semakan resume, khidmat nasihat kerjaya serta pendaftaran dan pemprofilan MYFutureJobs.

MYFutureJobs Rovers pula menyediakan demonstrasi platform, pendaftaran pencari kerja, semakan profil serta padanan pekerjaan secara interaktif bagi memudahkan golongan muda mendapatkan akses kepada peluang kerjaya.

Penganjuran Karnival MYFutureJobs LINDUNG Kerjaya memperkukuh kerjasama antara Kesuma, Perkeso, pelajar IPT dan industri dalam memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan pasaran buruh.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |