ALOR SETAR – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melakar sejarah sebagai kerabat diraja pertama menjalani dan menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU), di sini.
Kejayaan menamatkan keseluruhan latihan dalam Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67(A)/26 melayakkan Tengku Mahkota Pahang dikurniakan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merangkap Kolonel Yang Dipertua TUDM berkenan berangkat mengurniakan Sayap Penerbangan kepada Tengku Hassanal dan 39 graduan Angkatan Tentera (ATM) pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Padang Kawad KTU, hari ini.
Tengku Mahkota Pahang berkenan menjalani kursus tersebut mulai 2 Jun hingga 31 Julai lalu menggunakan helikopter EC120B Colibri dan berjaya menyempurnakan serta lulus dengan cemerlang dalam beberapa penilaian penerbangan merangkumi Ujian Pengendaian Asas, Ujian Penerbangan Instrumen, Ujian Navigasi Akhir dan Ujian Pengendalian Akhir.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, Sayap Penerbangan yang dikurniakan bukan sekadar pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan latihan, malah melambangkan kepercayaan dan amanah yang kini dipikul sebagai warga udara yang terlatih, berdisiplin dan profesional.
“Alhamdulillah dengan limpah kurnia Allah SWT, bimbingan para jurulatih serta kesungguhan dan iltizam yang tinggi, Tengku Mahkota Pahang bersama 39 graduan daripada Kursus Asas Penerbangan Siri 87/25, Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67/25 dan Kursus Asas Jurusensor Senjata Pejuang Siri 01/25 telah berjaya menamatkan latihan ditetapkan.
“Kejayaan Tengku Mahkota Pahang dan para graduan adalah hasil ketekunan, semangat juang, ketahanan mental serta disiplin tinggi yang telah digilap selama ini,” katanya ketika berucap pada istiadat tersebut.
Beliau berkata, pengurniaan Sayap Penerbangan bukanlah penamat kepada sebuah perjalanan, sebaliknya merupakan permulaan kepada amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
“Mulai hari ini, sayap yang tersemat di dada membawa bersamanya maruah, harapan dan kepercayaan perkhidmatan serta negara. Ia menuntut setiap pemakainya untuk sentiasa memartabatkan disiplin, integriti, keberanian dan kesetiaan dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan ruang udara negara tercinta,” ujarnya.
Graduan yang dikurniakan Sayap Penerbangan terdiri daripada 38 juruterbang muda dan dua jurusensor senjata-pejuang daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM melibatkan 32 pegawai TUDM, tiga pegawai Tentera Darat Malaysia dan empat pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia.
Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67/25 melibatkan latihan menggunakan helikopter EC120B Colibri, manakala Kursus Asas Penerbangan Siri 87/25 dan Kursus Asas Jurusensor Senjata-Pejuang Siri 01/25 menggunakan pesawat Pilatus PC-7 Mk II.
Turut berlangsung ialah pengurniaan enam anugerah kepada graduan terbaik antaranya penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Putar, Leftenan Ahmad Faiz Roslan dan Graduan Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku, Leftenan Safwan Lukman Miswanto yang masing-masing dianugerahkan Piala Panglima Tentera Udara. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
6
















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)