BUKAN pupus tetapi jumlah penyanyi tanah air yang masih terus memperjuangkan lagu-lagu irama Malaysia dan etnik kreatif kini boleh dihitung dengan jari.
Jika dahulu, Allahyarham Ahmad Jais, Allahyarham Tan Sri SM Salim dan komposer tersohor, Allahyarham Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah antara nama yang tanpa lelah mengangkat serta memperjuangkan martabat lagu dan muzik irama tradisional tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Mungkin ada berpendapat tiada yang meneruskan usaha tersebut tetapi hakikatnya legasi perjuangan itu masih wujud, namun tidak serancak dahulu.
Gala minggu ini menyenaraikan enam penyanyi tanah air yang masih tak lelah memperjuangkan lagu-lagu irama Malaysia dan etnik kreatif.

Noraniza Idris
ANAK kelahiran Kluang, Johor ini tegar memperjuangkan lagu tradisional Melayu dan etnik kreatif sehingga mendapat julukan Ratu Irama Malaysia.
Mula membina kerjaya menerusi Bintang RTM pada 1985, Noraniza Idris konsisten mengangkat muzik tradisional dalam arus perdana sehingga ke hari ini.
Antara lagu dendangan yan mencuri perhatian ramai ialah Dikir Puteri, Hati Kama, Dondang Dendang, Ngajat Tampi dan Empat Dara. Sepanjang kerjaya, Noraniza menghasilkan puluhan album termasuk Masyhur, Seri Balas, Bekaba dan Iktiraf.
Meski usia sudah mencecah 58 tahun, dia masih giat menyumbang tenaga dan ilmu kepada mana-mana individu berminat memperjuang genre yang semakin kurang diminati generasi muda itu menerusi pelbagai program.
Terbaharu, namanya kembali rancak diperkatakan apabila diumumkan bakal membuat persembahan di pentas konsert tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Oktober depan.

Asmidar
ASMIDAR bukan nama asing dalam dunia lagu asli dan tradisional. Kerjaya seninya bermula seawal usia 12 tahun apabila diberi peluang merakam lagu tradisional Jasa Pak Tani.
Bagaimanapun, namanya mula mendapat perhatian selepas muncul sebagai naib juara Bintang RTM 2001. Menariknya, kecenderungan terhadap muzik tradisional semakin mengukuh selepas menjuarai Bintang Asli Remaja pada 2006.
Dia juga pernah mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts di Los Angeles dan meraih tiga pingat emas, tiga perak serta dua gangsa.
Meski mula dikenali dengan lagu genre balada, kekuatan vokalnya lebih terserlah menerusi persembahan yang mengangkat keroncong, ghazal serta lagu klasik Melayu.
Kini, wajahnya antara yang sering muncul dalam konsert yang mengangkat muzik klasik dan irama tradisional Melayu.

Dayang Nurfaizah
MESKI identitinya lebih sinonim dengan genre R&B, soul dan pop, Dayang mempunyai keupayaan vokal hebat membawa lagu Melayu klasik dan tradisional dengan gaya tersendiri.
Pada 2021, dia meluncurkan album Belagu yang memuatkan lagu-lagu Melayu klasik yang diberi nafas baharu tanpa menghilangkan jiwa asalnya seperti Tudung Periuk, Tari Tualang Tiga dan Jikalau Abang Merindu.
Cinta mendalam terhadap irama klasik itu diteruskan dengan album Belagu II pada 2023 yang mengetengahkan lagu popular seperti Umpan Jinak Di Air Tenang, Ketipang Payung, Nak Dara Rindu dan Mengapa Dirindu.
Siapa sangka, album yang turut mendapat sentuhan maestro terkenal, Aubrey Suwito itu berjaya dinobatkan sebagai Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) tahun lalu.

Wani Kayrie
WANI boleh dilihat sebagai antara pelapis generasi baharu yang berpotensi meneruskan kesinambungan irama Melayu kepada pendengar muda.
Pernah hampir berputus asa meneruskan kerjaya seni kerana menganggap lagu-lagu pop dan baladanya kurang diminati, Wani melakukan percubaan berani apabila meluncurkan lagu irama tradisional berjudul Cak Cak Cekuk tahun lalu.
Tidak pernah terjangkau dek akalnya, lagu tersebut berjaya mengangkat namanya selain yakin untuk memperjuangkan genre irama tradisional dan etnik kreatif selepas ini.
Lebih membanggakan, lagu berkenaan berjaya membawa Wani melangkah ke Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) hari ini selain menjadi karya tunggal irama tradisional yang bertanding di pentas berprestij tersebut.

Haziq Rosebi
KETIKA ramai penyanyi lelaki berlumba-lumba menghasilkan lagu balada, Haziq berani memilih haluan berbeza dengan menjadikan lagu asli sebagai antara teras perjuangan seninya.
Menjadikan Allahyarham Ahmad Jais dan Tan Sri S.M. Salim sebagai idola, Haziq, 38, berjaya meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri meski fokus utama adalah lagu-lagu irama tradisional Melayu.
Kesungguhan bekas bintang Akademi Fantasia 4 itu memperjuang genre itu dilihat berjaya sehingga meledakkan singlenya berjudul Nurlela yang diluncurkan tahun lalu.
Bakat besarnya itu turut menarik perhatian Siti Nurhaliza yang memilihnya sebagai artis jemputan konsert Gema Bumantara.

Siti Nurhaliza
MEMULAKAN kerjaya seawal usia 16 tahun, Biduanita Negara ini mencetuskan fenomena sendiri menerusi pelancaran album tradisional pertamanya, Cindai pada 1997.
Album yang memuatkan lagu ikoniknya Cindai dan Joget Pahang itu menjadi antara titik penting yang memperlihatkan kecenderungannya memperjuangkan lagu-lagu asli dan tradisional.
Usaha tersebut berterusan menerusi beberapa album lain seperti Sahmura (2000), Sanggar Mustika (2002), Lentera Timur (2008) dan terbaharu, Gema Bumantara (2025).
Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu membuktikan penyanyi mampu menjulang pelbagai genre muzik termasuk irama tradisional sehingga berjaya meriah pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.
Cinta yang mendalam terhadap genre tersebut juga menjadi pencetus kepada penganjuran konsert irama Malaysia terbesar, Gema Bumantara yang bakal berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

16 hours ago
8
















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)