BUKIT JALIL – Lontaran vokal tinggi Amir Masdi ketika menyampaikan lagu Nurcinta pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) mengundang sorakan gemuruh penonton.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 29, itu membuktikan keupayaan vokalnya menerusi nota tinggi pada kemuncak persembahan, sekali gus menjadi antara detik paling mencuri perhatian sepanjang acara berprestij berkenaan.
Persembahan Amir turut menerima tepukan gemuruh, malah sebahagian penonton dilihat memberikan ‘standing ovation’ sebagai tanda penghargaan terhadap aksi vokalnya.
Tidak sekadar mempertaruhkan kekuatan suara, Amir tampil dalam persalinan berkonsepkan putera raja, sekali gus memberikan wajah baharu terhadap karya Nurcinta.
Elemen biola turut memperkayakan persembahan menerusi susunan muzik dramatik, selain aksi Amir membuka jubah pada penghujung persembahan menambahkan lagi nilai dramatik di pentas AJL.
Lebih bermakna, Nurcinta ciptaan Amir bersama Edry Abdul Halim itu membawanya kembali ke pentas AJL buat kali keempat.
Lagu berkenaan turut dimuatkan dalam album AM:PM.
Malam kemuncak AJL40 di Unifi Arena menyaksikan 10 lagu berentap bagi merebut gelaran juara menerusi Lumangad Oku Dika nyanyian Ryenald Guntabid, Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie) dan Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).
Turut bersaing termasuklah Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah), Nurcinta (Amir Masdi) serta Tiwikarma (K.O.I).
Mengangkat tema Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia, AJL40 terus menjadi medan penting buat penggiat muzik tempatan mempersembahkan karya daripada pelbagai genre, pendekatan serta generasi.
Edisi ke-40 dikendalikan Naz Ahmad bersama Sissy Imann sebagai hos, sekali gus menyemarakkan malam penuh persaingan serta apresiasi terhadap empat dekad perjalanan muzik tanah air. – KOSMO! ONLINE.

3 hours ago
5
















![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN.jpeg)

![[VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM.jpg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)