Seleweng diesel bersubsidi, jual semula kepada syarikat pengumpulan

9 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang beroperasi secara licik dan tersusun di sekitar Selangor berjaya ditumpaskan menerusi Op Taring Bravo 1, semalam.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, serbuan dilaksanakan di tiga lokasi berasingan di sekitar Shah Alam dan Sungai Buloh melibatkan premis kilang, depoh serta stor haram.

“Hasil operasi, seramai lapan lelaki melibatkan warga tempatan dan seorang warga asing ditahan dengan pelbagai peranan seperti pengurus kilang, penyelia, pekerja, pemandu lori tangki dan penjaga stor.

“Turut dirampas sebanyak 124,950 liter minyak diesel bersubsidi bersama dua lori tangki, 10 tangki simpanan industri (IBC), enam mesin pam dan 12 skid tank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.83 juta, melibatkan RM645,632 bagi diesel bersubsidi, RM520,000 (dua buah lori tangki) serta RM662,080 bagi peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak awal tahun ini dengan mengumpul diesel bersubsidi secara berperingkat sebelum dijual secara pukal kira-kira 5,000 liter pada harga RM4 seliter kepada syarikat pengumpulan.

“Minyak tersebut kemudian diedarkan semula ke pasaran industri pada harga lebih tinggi antara RM4.80 hingga RM5 seliter,” ujarnya.

Menurut beliau, kegiatan itu jelas menunjukkan satu bentuk manipulasi rantaian bekalan bahan api bersubsidi bagi mengaut keuntungan besar.

“Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan kepada ketirisan subsidi kerajaan serta menjejaskan kestabilan pasaran tempatan,” katanya.

Mohd Zaki berkata, dua kompaun turut dikeluarkan olen Majlis Bandaraya Shah Alam sebanyak RM600 dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjumlah RM1,000 menjadikan jumlah keseluruhan kompaun RM1,600.

Dalam pada itu, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa permit, selain kesalahan imigresen di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tindakan sitaan turut diambil oleh MBPJ terhadap sebuah stor haram di bawah Seksyen 101(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” jelasnya.

Menurutnya, kesemua rampasan dan sitaan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor untuk tindakan lanjut, manakala tangkapan warga asing diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |