Liga Super: Selangor FC belasah Kelantan TRW 6-0

20 hours ago 7

KOTA BHARU – Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) terus menjadi pasukan belasahan dalam saingan Liga Super apabila tewas 0-6 kepada Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Skuad Gergasi Merah mendominasi perlawanan sejak sepak mula sekali gus memperlihatkan jurang kualiti yang jauh mengatasi pasukan tuan rumah.

Kelantan TRW dapat mencipta peluang terbaik untuk mencetak gol awal pada minit ke-12, tetapi disia-siakan oleh Muhammad Asraf Alifuddin Yasin apabila sepakannya jauh tersasar sungguhpun hanya berdepan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di pintu golnya.

Situasi itu bagaikan satu kejutan buat skuad kendalian Kim Pang Gon untuk tidak lagi membazirkan masa dan meledakkan gol pembukaan melalui rembatan jarak dekat Kim Ji-Ho pada minit ke-25.

Selang lima minit kemudian, pasukan pelawat menggandakan jaringan apabila Chigor Moraes menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh selepas dia dijatuhkan oleh Alexandre Yeoule di hadapan gawang tuan rumah.

Selangor FC terus mengganas apabila Moraes meledak jaringan ketiga selang dua minit kemudian, sekali gus menambah koleksi jaringan peribadi keduanya pada perlawanan tersebut.

Kelantan TRW yang dikendalikan oleh Zairul Fitree Ishak kemudian cuba bangkit merapatkan jurang jaringan, namun jelas berdepan kesukaran memecah kubu Selangor dan kedudukan kekal 0-3 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pasukan pelawat terus memberi tekanan kepada Kelantan TRW dengan melancarkan asakan bertubi-tubi.

Derita kem tuan rumah bertambah apabila Yeoule tertampan bola ke dalam gawang sendiri dalam percubaan untuk menyekat hantaran lintang leret dari pemain Selangor pada minit ke-58.

Skuad Gergasi Merah terus menghukum Kelantan TRW melalui tandukan terbang Alvin Fortes pada minit ke-63 untuk gol kelima disusuli jaringan hatrik Moraes untuk gol keenam selang dua minit kemudian sekali gus memuktamadkan kemenangan bergaya Selangor FC.

Kemenangan dengan jaringan besar itu mengekalkan Selangor FC pada tangga kedua liga dengan mengumpul 46 mata daripada 22 perlawanan manakala Kelantan TRW pula menghuni kedudukan ke-12 dengan 15 mata. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |