‘Saya tak boleh dengar pelajar mahu berhenti sebab susah’

1 hour ago 2

PETALING JAYA – Kira-kira 100 permohonan bantuan diterima Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yapeim (TKPY) seminggu untuk menolong pelajar yang kurang berkemampuan meneruskan pengajian.

Pengurus Besarnya, Dr. Shamsul Azhar Yahya berkata, pihaknya kini giat membantu pelajar terbabit namun jumlah yang dapat disalurkan bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Kita menyasarkan untuk mengagihkan tambahan RM300,000 sehingga Disember bagi membantu lebih ramai pelajar dan golongan yang memerlukan.

“Justeru saya berharap individu serta tokoh korporat tampil menyumbang kerana masih ramai pelajar tidak cukup wang untuk makan dan meneruskan pengajian mereka.

“Saya tidak boleh dengar ada pelajar mahu berhenti belajar hanya kerana tidak mempunyai wang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, antara kes terbaharu melibatkan 10 pelajar sebuah institusi pengajian awam (IPTA) berdepan risiko diberhentikan daripada pengajian selepas gagal melunaskan yuran.

Katanya, TKPY mengambil inisiatif menyelesaikan bayaran sekitar RM700 hingga RM800 bagi setiap pelajar berkenaan.

“Apabila dimaklumkan me­ngenai keadaan mereka, saya terus ambil inisiatif untuk menyelesaikannya kerana jumlah itu tidak terlalu besar.

“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan sebuah IPTA lain di Lembah Klang berhubung 15 pelajar yang tidak mampu membayar yuran,” ujarnya.

Sejak Julai 2025 hingga Julai lalu, TKPY membantu 712 pelajar dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM246,869.

Daripada jumlah tersebut, RM21,875 disalurkan kepada 97 pelajar antara Julai hingga Disember 2025, manakala 615 pelajar menerima bantuan RM224,944 bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Dalam pada itu, Shamsul Azhar berkata, antara projek utama tabung tersebut pada tahun ini menyediakan cermin mata kepada pelajar yang me­ngalami masalah penglihatan.

Katanya, pada 11 Julai lalu sebanyak 233 pelajar sekolah dan anggota komuniti menerima bantuan cermin mata dengan nilai kira-kira RM180 bagi setiap penerima.

Read Entire Article
Pertanian | | | |