TAPAH – Keputusan sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih diteruskan atau ditangguhkan, akan ditentukan dalam mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung esok.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, keputusan berhubung hala tuju operasi akan dibuat berdasarkan hasil perbincangan dan penemuan yang diperoleh sepanjang SAR dijalankan.
Katanya, mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang itu akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis serta Jabatan Perhutanan.
“Melalui mesyuarat itu nanti, kita akan menentukan sama ada operasi pencarian diteruskan dalam dua tiga hari lagi atau ditangguhkan.
“Keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada hasil perbincangan semua agensi yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Sayani dilaporkan berkata, operasi mengesan Jaslinda diperluaskan ke kawasan luar laluan pendakian (off trek) dengan penglibatan komuniti Orang Asli dari Kampung Ampang Woh.
Menurut beliau, komuniti itu akan memulakan pencarian dari Kampung Ampang Woh dan dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi menyusur kawasan sekitar, khususnya di luar laluan trek.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan Isnin lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
50








![[VIDEO] Jeti Pangkor sesak, ‘berkicap’ tunggu feri nak balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-2.56.05-PM-e1780384202682.jpeg)


![[VIDEO] ‘6 jam selesai imigresen, taubat tak nak masuk Thailand cuti umum’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-02-at-1.02.23-PM.jpeg)





























