SEBERANG PERAI – “Ikutkan saya juga pergi dengan Adib.”
Demikian menurut seorang rakan rapat kepada salah seorang pendaki Malaysia, Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, yang dilaporkan masih hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Nepal.
Menurut Luqman Hakim, 27, dia sepatutnya turut bersama Adib dalam perjalanan itu, namun terpaksa membatalkannya pada saat akhir berikutan urusan kecemasan.
Luqman yang bekerja sebagai jurutera pengeluaran di Perai, di sini, berkata, dia mengenali Adib yang juga berasal dari Kulim, Kedah sejak hampir 11 tahun lalu dan mereka berkongsi minat yang sama termasuk aktiviti larian serta mendaki.
“Saya sangat berharap Adib selamat pulang ke pangkuan keluarga. Saya juga berharap dia dapat kembali untuk berlari semula kerana kami berkongsi hobi yang sama.
“Semoga dia terus kuat dan dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada Kosmo!, di sini, hari ini.
Luqman berkata, kali terakhir dia bertemu Adib yang juga bekerja sebagai jurutera adalah pada 17 Jun lalu ketika mereka mendaki bersama di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, namun ketika itu mereka hanya berbual seperti biasa.
Katanya, waktu itu Adib masih belum mempunyai perancangan yang jelas untuk menyertai perjalanan ke Nepal.
“Saya berkali-kali cuba menghubungi Adib sehingga ke saat ini, tetapi gagal. Mesej terakhirnya daripada kumpulan itu adalah sekitar pukul 9.24 pagi, pada 26 Ogos lalu, sebelum kejadian berlaku.
“Ketika itu, dia meminta Muhaimin, iaitu rakan pendakiannya menghantar gambar yang diambil sehari sebelum kejadian dalam kumpulan berkenaan,” katanya yang juga berada dalam grup WhatsApp pendakian tersebut.
Beritahu Luqman lagi, mereka biasanya bertemu setiap satu hingga dua bulan sekali bergantung kepada kelapangan masing-masing.
“Waktu cuti kami tidak sama, jadi agak susah untuk berjumpa kerap dengannya. Dua lagi individu iaitu Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Zaki Othman, 29, yang turut menyertai pendakian berkenaan pula tidak dikenali secara rapat,” katanya.
Luqman berkata, dia berharap perkembangan mengenai kehilangan tiga pendaki berkenaan dapat diketahui segera dan mereka semua ditemukan dalam keadaan selamat.
Adib bersama Muhammad Muhaimin dan Muhammad Zaki dilaporkan gagal dihubungi ketika melakukan aktiviti pendakian di Langtang Valley, Nepal.
Ketiga-tiga mereka dipercayai berada di kawasan berkenaan ketika banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

20 hours ago
9















































