‘Memperkaya mangsa’ di habitat Harimau Malaya

4 hours ago 5

USAHA memulihara Harimau Malaya tidak hanya bergantung kepada perlindungan spesies berkenaan, sebaliknya turut memerlukan pemulihan ekosistem yang menjadi sumber makanan dan tempat perlindungannya.

Pendekatan itu diterapkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia menerusi projek habitat enrichment atau pengayaan habitat di Taman Negeri Royal Belum, Perak bagi memperbaiki keadaan kawasan mencari makanan dan meragut untuk spesies mangsa utama harimau.

Menurut Pembantu Pengurus Pemerkayaan Habitat dan Peningkatan Pemangsa WWF Malaysia, Haziq Harith Abd. Hamid, projek berkenaan dilaksanakan bersama Perak State Parks Corporation sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyokong pemulihan populasi Harimau Malaya.

“Dalam projek pengayaan habitat, dua tapak telah diwujudkan di Royal Belum bagi meningkatkan keadaan kawasan yang digunakan untuk meragut dan mencari makanan oleh spesies ungulate (ungulat), khususnya rusa sambar dan seladang.

“Pendekatan ini penting kerana harimau memerlukan bekalan mangsa yang mencukupi untuk terus hidup dan membiak,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno semasa Program Lawatan Media Ke Belum-Temengor, Perak baru-baru ini.

Tambahnya, jika populasi mangsa-mangsa besar berkurangan, harimau berdepan kesukaran mendapatkan tenaga yang diperlukan, sekali gus boleh menjejaskan keupayaan populasi untuk berkembang.

Taman Negeri Royal Belum merupakan sebahagian daripada Kompleks Hutan Belum-Temengor yang mempunyai keluasan kira-kira 3,400 kilometer persegi dan menjadi antara landskap hutan bersambung penting di Semenanjung Malaysia.

Kamera merakam kehadiran haiwan spesies mangsa Harimau Malaya seperti seladang dan rusa di Taman Negeri Royal Belum, Perak.

Royal Belum sendiri merangkumi kira-kira 1,175 kilometer persegi dan menyediakan habitat kepada pelbagai mamalia besar termasuk rusa sambar, seladang dan gajah.

Kepentingan kawasan ini kepada pemuliharaan harimau turut menjadikan pengurusan habitat dan populasi mangsa sebagai antara aspek penting dalam strategi pemuliharaan WWF Malaysia.

Katanya lagi, antara elemen yang menarik dalam projek ini ialah penggunaan sumber mineral di kawasan pengayaan habitat.

“Rekod WWF menunjukkan seladang telah dikesan menggunakan blok mineral di salah satu tapak berkenaan.

“Kehadiran haiwan sasaran di kawasan yang diperkaya memberikan petunjuk awal bahawa intervensi tersebut mula dimanfaatkan oleh hidupan liar,” ujarnya.

Kongsinya lagi, pada masa sama, kamera perangkap (camera trap) turut merekodkan kehadiran harimau di kawasan sekitar, membolehkan penyelidik menilai hubungan antara keadaan habitat, penggunaan kawasan oleh mangsa dan kehadiran pemangsa.

Penggunaan kamera perangkap juga penting kerana pemuliharaan moden semakin bergantung kepada data untuk menentukan keberkesanan sesuatu intervensi.

Rakaman yang dikumpulkan boleh membantu pasukan pemuliharaan mengenal pasti spesies yang mengunjungi kawasan berkenaan, tempoh penggunaan habitat serta perubahan aktiviti hidupan liar dari semasa ke semasa.

Maklumat sedemikian boleh digunakan untuk menambah baik pengurusan tapak dan menentukan kawasan yang sesuai untuk diperluaskan pada masa depan.

“Bagi WWF Malaysia, usaha pengayaan habitat ini berkait rapat dengan konsep pemulihan populasi mangsa atau prey augmentation.

“Ia bukan sekadar menyediakan kawasan yang lebih baik untuk hidupan liar, tetapi cuba menangani salah satu kekangan penting kepada pemulihan harimau iaitu ketersediaan mangsa,” tambahnya.

WWF dan Perak State Parks Corporation juga merancang untuk memperluas kawasan meragut bagi meningkatkan peluang pemulihan populasi ungulat di Royal Belum.

Pendekatan tersebut menunjukkan bahawa pemuliharaan harimau perlu dilihat sebagai usaha memulihkan keseluruhan ekosistem.

Melindungi harimau tanpa memastikan habitat dan mangsanya berada dalam keadaan baik tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan spesies itu dalam jangka panjang.

Sebaliknya, pengayaan habitat, pemantauan saintifik dan pengurusan kawasan perlindungan perlu bergerak seiring bagi mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya tahan.

Usaha di Royal Belum juga melengkapkan pendekatan WWF Malaysia dalam memperkukuh pengurusan kawasan pemuliharaan harimau.

Ia juga dalam rangka usaha pemuliharaan harimau jangka panjang yang turut mendapat sokongan Yayasan Maybank.

Royal Belum merupakan satu-satunya tapak di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS), satu piawaian yang menilai pengurusan kawasan pemuliharaan harimau.

Dengan empat tapak pengayaan habitat yang telah diwujudkan dan perancangan untuk memperluas kawasan meragut, projek ini menjadi contoh bagaimana pemuliharaan boleh dilakukan dari peringkat asas rantaian makanan.

Jika populasi rusa sambar dan seladang dapat diperkukuh dalam habitat yang sesuai, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Harimau Malaya, malah membantu mengekalkan keseimbangan ekologi hutan Royal Belum untuk jangka panjang.

Read Entire Article
Pertanian | | | |