Saya yang belum dapat atasi rasa malu – Hussain

17 hours ago 9

MINGGU ini program realiti Talk To My Manager musim dua (TTMM2) akan memasuki minggu keenam yang menyaksikan persaingan sengit antara barisan peserta muda itu.

Setuju atau tidak, semakin dekat persaingan menuju ke pentas akhir, bertambah pula ‘drama’ serta komen pemerhati yang mengikuti pertandingan itu sejak awal.

Selain didakwa lari daripada konsep asal dengan seolah-olah dikatakan sudah seperti program The Hardest Singing Show, isu membabitkan peserta turut hangat diperkatakan.

Begitupun, dalam mana-mana pertandingan, lebih-lebih lagi program realiti perkara yang dijentik hakikatnya memberi kelebihan terhadap keseluruhan produksi.

Andai tercetus sesuatu isu, hal tersebut boleh mendorong orang ramai mengikuti rancangan tersebut untuk menonton sendiri perkara yang menjadi bualan di laman sosial.

Cuma dalam kes membabitkan seorang peserta juga anak kepada penyanyi, Hussain Jamilul Hayat, dakwaan mengatakan wakil pengurusannya ‘lebih sudu daripada kuah’ memberi naratif negatif terhadap dirinya.

“We don’t do photoshoot (kami tak buat sesi fotografi),” demikian bunyi kata-kata yang didakwa ditujukan kepada wakil media yang membuatkan ramai tertanya-tanya kewajaran perkara tersebut.

Andai ikut logik akal, jika tanya pada pengurus peserta lain yang sudah memahami sesi seumpama itu juga sebagai sebahagian daripada promosi, tentu ayat sebegitu tidak terkeluar dari mulut baik artis mahupun pengurusan terlibat.

Ayat pendek, berbunyi tegas, namun seolah-olah menyatakan Hussain juga antara peserta favorite tidak memerlukan sebarang publisiti. Noktah.

Jadi impak perkataan ringkas tersebut terarah kepada penyanyi berusia 23 tahun itu yang mujur dengan pantas menjelaskan situasi sebenar agar pasukannya tidak berterusan dihentam pihak luar.

Berpotensi besar

“Dakwaan itu tidak benar. Cuma saya sendiri yang masih belum dapat keluar daripada perasaan malu. Malam ini (Ahad lalu), saya buktikan pengurus dan pembantu pengurus menjalankan tugas dengan baik.

“Cuma saya sahaja yang masih belum dapat mengatasi rasa malu itu. Sekarang saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan industri. Memang betul, saya agak kekok sedikit dan cuba memperbaiki diri.

“Saya memang marah apabila perkara yang tidak betul diperkatakan. Mereka petik nama bapa dan orang sekeliling saya, sedangkan saya sendiri yang masih belum menunjukkan peningkatan. Bapa hanya jalankan tanggungjawabnya,” katanya selepas program berakhir.

Menurut Hussain lagi, pasukannya juga banyak memberi idea agar dia tampil berbeza setiap minggu di pentas TTMM2, namun dirinya sendiri masih belum cukup terbuka untuk menyerlahkan potensi sebenar.

Harapnya penjelasan anak muda berbakat besar itu dapat meleraikan sebarang salah faham, sekali gus menjernihkan keadaan apatah lagi Hussain sememangnya mampu pergi jauh jika diuruskan pasukan yang bagus.

Read Entire Article
Pertanian | | | |