DALAM pasaran ketika ini, terdapat pelbagai jenis mainan interaktif yang ditawarkan mengikut kesesuaian umur kanak-kanak. Biasanya, mainan yang dijual direka bentuk bagi memberi keseronokan, selain menyokong perkembangan fizikal dan minda kanak-kanak.
Ada permainan yang direka khusus bagi membina kemahiran motor halus, memberi inspirasi kepada kreativiti, menggalakkan proses pemikiran tidak konvensional dan memperkenalkan konsep matematik atau sains.
Bagaimanapun, terdapat juga mainan yang dijual di pasaran dilihat berbahaya dan boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak.
Situasi ini pastinya menyukarkan ibu bapa untuk membeli mainan yang betul-betul sesuai dengan perkembangan minda, namun tidak berbahaya kepada anak-anak mereka.
Justeru itu, minggu ini K-Wanita senaraikan beberapa pertimbangan yang boleh diambil oleh ibu bapa sebelum membeli mainan kepada anak-anak.
1- Mainan untuk belajar
Sebenarnya, pembelajaran menyeronokkan boleh dilalui dengan bermain mainan yang mengandungi ilmu tertentu.
Antaranya, permainan teka-teki boleh membuatkan anak anda berfikir, atau kit sains bagi membuka mata mereka tentang cara dunia ini berfungsi.
Terdapat satu kajian yang mencadangkan agar tadika dan taska menggunakan mainan bagi pembelajaran kanak-kanak.
Apabila mainan dijadikan bahan pembelajaran, maka anak-anak berasa lebih seronok untuk melakukannya, sekali gus memboleh mereka berkembang secara semula jadi.
2- Mainan sesuai dengan umur
Apabila memilih mainan untuk anak, penting untuk bertanya kepada diri sendiri sama ada mainan itu sesuai dengan usia anak anda.
Mainan yang sesuai dengan usia bukan sahaja menghiburkan kanak-kanak, malah membantunya mempelajari kemahiran baharu untuk kumpulan usianya.
Jika mainan terlalu canggih, anak anda mungkin kecewa dalam proses bermain, sekali gus menyebabkan mereka cepat hilang minat.
Sebaliknya, jika mainan itu terlalu mudah, anak anda menjadi kurang dirangsang dan bosan. Ini menyebabkan pembelajaran terhenti kerana tidak mahu bermain permainan itu.
3- Bahan digunakan
Pastikan mainan yang ingin dibeli tidak diperbuat daripada bahan bertoksik yang berbahaya untuk kanak-kanak.
Paling penting, pastikan mainan anak anda bebas bahan plastik BPA (Bisphenol A) dan ftalat.
Sudah tentu terdapat beberapa mainan di pasaran diperbuat daripada plastik tidak berlabel atau generik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dan berbahaya.
Terdapat juga mainan tidak cukup lembut untuk kegunaan bayi, atau dibuat menggunakan cat dan pewarna toksik yang berbahaya untuk kanak-kanak.
4- Ciri-ciri keselamatan
Sebagai ibu bapa, keselamatan anak anda adalah keutamaan nombor satu. Faktor ini sering diabaikan oleh ibu bapa kerana percaya bahawa semua mainan tidak berbahaya kepada kanak-kanak.
Tahukah anda, mainan juga boleh berbahaya kepada anak anda, terutama jika tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan ditetapkan?
Jadi, periksa terlebih dahulu sama ada mainan ingin dibeli boleh tercekik, mempunyai sudut tajam dan bahagian berbahaya kepada kanak-kanak atau tidak.
5- Ada nilai-nilai baik
Ibu bapa harus pastikan mainan ingin dibeli mempunyai nilai moral yang baik. Jika anda membeli mainan berunsur ganas seperti senjata, ia akan menggalakkkan anak-anak membuat tingkah laku berbahaya.
Sebaliknya, pilih mainan yang menyediakan permainan kooperatif seperti dam ular yang menggalakkan tingkah laku bergilir-gilir bagi memupuk rasa sabar dalam diri kanak-kanak.

1 day ago
12


![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)













































