MELAKA – Melaka memperkukuh kedudukan sebagai hab industri halal dengan pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 yang menyediakan 81 lot industri untuk menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Melaka Halal Hub 2.0 bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi sebuah ekosistem lengkap merangkumi sektor pembuatan, pemprosesan dan penyelidikan.
Katanya, ia turut meliputi aspek pembangunan, pensijilan, logistik, pembungkusan, pemasaran serta akses ke pasaran antarabangsa.
“Jika tiada aral melintang, projek ini dijangka siap pada 2027 dan bakal dilengkapi dengan 64 unit kilang teres dua tingkat serta 17 lot industri bersama fasiliti moden yang memenuhi keperluan industri halal masa kini.
“Pembangunan ini membawa aspirasi lebih besar untuk mewujudkan sebuah ekosistem halal yang lengkap dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan halal yang mempunyai kemudahan, infrastruktur serta ekosistem industri yang kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Melaka International Halal Festival (MIHF) 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Tambahnya, pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 merupakan kesinambungan kejayaan Melaka Halal Hub 1.0 di Serkam, Jasin yang dibangunkan pada 2006 dalam membentuk kluster syarikat halal serta mengukuhkan rangkaian industri halal negeri.
Ujarnya, potensi industri halal Melaka turut mendapat perhatian pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun dan China yang melihat negeri ini sebagai lokasi strategik untuk mengembangkan operasi pembuatan serta perniagaan halal.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Melaka semakin kukuh.
“Festival ini bukan sekadar ruang pameran produk halal tetapi platform untuk membina jaringan kerjasama lebih luas antara pemain industri dalam negara dan luar negara,” katanya.
MIHF 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu menyasarkan kehadiran seramai 150,000 pengunjung. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3


![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)













































