KUALA LUMPUR – Hemat berbelanja, pelakon, Anna Jobling memilih menabung serta mengumpul aset untuk masa depan berbanding berbelanja secara berlebihan semata-mata memenuhi kehendak nafsu.
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 26, berkata, antara ‘pelaburan’ yang menjadi pilihan termasuk membeli emas, selain merancang memiliki kediaman sendiri suatu hari nanti.
“Saya bukan jenis individu yang boros. Saya tidak suka membelanjakan duit kepada perkara yang saya rasa tidak begitu diperlukan.
“Lebih baik kumpul aset, saya suka beli emas dan gemar bersedekah. Itu nombor satu bagi saya, sama ada kepada orang lain, haiwan, ahli keluarga atau kawan-kawan,” katanya selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection bersempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, hari ini.
Menurut pelakon drama bersiri Yes! Captain Zul Aaryan itu, dia lebih mengutamakan keperluan orang lain berbanding kehendak sendiri sehingga setiap pembelian akan difikirkan sebelum membuat keputusan.
“Saya rasa saya lebih mengutamakan orang lain. Kalau nak beli sesuatu pun buat diri sendiri, saya akan fikir dua, tiga, empat, lima kali sebelum membeli apa-apa,” ujarnya.
Ditanya mengenai pembelian hartanah, katanya perkara tersebut sebagai perancangan peribadi yang dirasakan tidak perlu dikongsikan kepada umum.
Sementara itu, berkenaan pembabitan dengan Tomei, Anna yang menjadi duta jenama barang kemas terbabit buat tahun kedua itu tampil anggun di KLFW menggayakan koleksi barang kemas ikonik Tomei bernilai lebih RM225,000.
Berlangsung di Fountain L’Esplanade, Suria KLCC, katanya padanan rantai leher, gelang tangan, cincin dan subang koleksi Emerald & Sapphire yang mengetengahkan keindahan batu zamrud dan nilam itu menyuntik keyakinan.
“Koleksi istimewa ini bukan sekadar aksesori, sebaliknya melambangkan keyakinan diri dan ekspresi seorang wanita.
“Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini kerana ini juga merupakan penampilan sulung Tomei di pentas Kuala Lumpur Fashion Week,” katanya.
Turut mencuri tumpuan ialah Diana Danielle, Sweet Qismina, Arabella, Chacha Maembong, Kaka Azraff dan Raden yang masing-masing menggayakan koleksi barang kemas Tomei dengan nilai keseluruhan mencecah RM2 juta. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1









![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)






































