KUALA LUMPUR – “Kenapa saya pilih Aliff Aziz? Sebab dia pelakon kedua tampan di Malaysia.”
Demikian seloroh komposer tersohor Datuk M. Nasir apabila ditanya mengenai pemilihan penyanyi Aliff Aziz sebagai pemegang watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu.
M. Nasir berkata, pemilihan Aliff memenuhi kriteria yang dicari untuk watak tersebut dan dilihat serasi bergandingan dengan Melinda Dadew sebagai Liu.
“Kalau tanya kenapa saya pilih Aliff, itu kami ada sebab-sebab tersendirilah.
“Tapi kalau kita tengok daripada persembahan mereka ketika uji bakat, mereka memang sangat sesuai dengan watak ini,” katanya pada sidang media pementasan teater Mansur & Liu di sini, hari ini.
Tambah M. Nasir, kemampuan berlakon dan menyanyi yang dimiliki Aliff antara faktor utama dipilih untuk menghidupkan watak Sultan Mansur.
“Ramai pelakon berbakat hadir ke sesi uji bakat tetapi tidak memenuhi semua kriteria, terutama dari segi nyanyian.
“Pemilihan watak memang kena cerewet sedangkan saya bukan begitu, kalau tidak nanti kita menyesal.
“Kami pasti akan ada pihak yang tidak puas hati dan yang paling hampir dengan watak yang kami bayangkan Aliff adalah orangnya,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai teater pertama arahannya, M. Nasir mengakui sudah lama memasang impian untuk mementaskan kisah Mansur & Liu.
Ujarnya, hasrat tersebut sudah berada dalam fikirannya sejak enam tahun lalu selepas terbabit dalam projek pembacaan buku audio kisah tulisan Tun Sri Lanang.
“Saya suka teater muzikal, sebab itu saya buat pementasan ini dan dalam banyak-banyak hikayat Melayu, saya paling tertarik dengan kisah Mansur & Liu.
“Memang ada hasrat itu tetapi semuanya hilang apabila pandemik Covid-19 muncul.
“Namun, bila ada pihak yang berminat buat pementasan teater muzikal, idea tersebut muncul semula dan akhirnya berjaya menjadi realiti berdasarkan apa yang saya bayangkan,” jelasnya.
Mansur & Liu tang diterbitkan Icon Entertainment bersama Roman Abadi bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 September depan.
Selain Aliff, teater tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Melinda Dadew, Hazama, Fiza Thomas, Arena Wan, Sherry Alhadad dan Ruzana Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2









![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)






































