Guru sekolah agama tak mengaku ‘usap’ pelajar lelaki

1 hour ago 3

SEBERANG PERAI – Seorang guru sebuah sekolah agama didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap beberapa pelajar lelaki, antara Mei 2023 hingga Januari lalu.

Tertuduh yang berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memegang dan mengusap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun di sebuah bilik sekolah berkenaan, antara April hingga Mei 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa meraba dan mengusap tujuh pelajar lain berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun di sekolah sama, antara Mei 2023 hingga Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Mohd Najeeb.

Ketika prosiding, Wan Amira tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana berpandangan pertuduhan yang dihadapi lelaki terbabit adalah serius selain ia membabitkan pelajar bawah umur.

Muhd Nazreev bagaimanapun memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan anak guamnya diikat jamin dan memaklumkan tertuduh telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPU selain masih menanggung tiga anak saudaranya selain menghidap kencing manis, gout dan alahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM45,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin. Bagi pertuduhan pertama, jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan manakala pertuduhan kedua hingga kelapan masing-masing sebanyak RM5,000.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |