GEORGE TOWN – Polis mengesan individu terlibat kes gangguan seksual dalam talian membabitkan mangsa seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan dijalankan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) menerima laporan daripada mangsa pada Selasa lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali kira-kira pukul 1.59 tengah hari.
“Individu terbabit meminta mangsa menghantar video peribadi. Pada pukul 2.04 petang, suspek sekali lagi menghantar gambar mangsa berserta kata-kata berunsur penghinaan.
“Mangsa mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan sekolahnya,” katanya di sini, hari ini.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 507E Kanun Keseksaan.
“Siasatan mendapati mangsa pernah membuat dua laporan polis sebelum ini dan diklasifikasi sebagai rujuk agensi lain kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut pihak berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” tambahnya.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JON) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kes gangguan seksual dan buli siber melibatkan seorang pelajar tingkatan lima.
JPN Pulau Pinang berkata, kes tersebut sedang dalam tindakan pihak polis dan sedia memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu meluahkan rasa bimbang apabila anak perempuannya yang juga calon SPM 2026 didakwa menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lalu.
Emosi remaja terbabit dikatakan semakin terganggu apabila gambarnya disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum disebarkan menerusi poster di sekolah, tempat awam dan media sosial. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
2














































