PETALING JAYA – Yew Gadget (M) Sdn Bhd (Yew Gadget) telah menawarkan perkhidmatan kepada lebih 20,000 pelanggan dengan merekodkan sebanyak 20,934 transaksi sejak tahun 2025, membolehkan kejayaan syarikat diiktiraf sebagai ‘Top Dealer’ untuk beberapa jenama utama bagi OPPO, Realme dan YS Digital.
Pengasas syarikat, Yew Boon Xiang berkata, perkembangan ini dipacu oleh prestasi jualan dan standard operasi berkualiti ditawarkan kepada pelanggan.
Menurut beliau, kejayaan bagi sesebuah perniagaan bukan sekadar bergantung kepada jualan tetapi dibina melalui integriti, kualiti produk dan komitmen terhadap perkhidmatan pelanggan.
“Aset paling bernilai sesebuah syarikat bukanlah jualan atau keuntungan semata-mata, tetapi kepercayaan yang dibina bersama pelanggan.
“Jenama mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, tetapi kepercayaan boleh hilang dalam beberapa saat.
“Jika kita menipu pelanggan walaupun sekali, mereka mungkin tidak akan kembali dan tidak lagi memperkenalkan perniagaan kita kepada orang lain.
“Sebab itu, menjaga nama baik jenama adalah tanggungjawab paling besar,” katanya dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Boon Xiang atau lebih mesra dikenali sebagai Boss Mario memaklumkan, penanda aras bagi mengukuhkan daya saing syarikat dalam industri telefon pintar terpakai tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu menawarkan produk berkualiti, memperkukuhkan perkhidmatan selepas jualan dan membangunkan jenama peribadi sebagai platform pendidikan serta perkongsian ilmu kepada pengguna.
“Kami juga bercadang untuk meluaskan operasi Yew Gadget ke seluruh negara agar lebih ramai pengguna dapat menikmati pengalaman membeli telefon terpakai yang diyakini, telus dan selamat,” katanya yang sebelum ini menjadi jurujual telefon bimbit lebih 13 tahun.
Mengulas mengenai pengalamannya dalam industri itu sejak syarikat ditubuhkan pada tahun 2018, Boon Xiang menguruskan hampir setiap aspek operasi secara bersendirian, termasuk pemeriksaan telefon, khidmat pelanggan, jualan serta penghantaran.
Kesungguhan itu menyebabkan beliau hampir tidak pernah bercuti sepanjang tahun demi memastikan setiap pelanggan menerima produk dan memanfaatkan pengalaman terbaik.
“Pengguna sentiasa membandingkan harga dan kualiti. Apa yang boleh kami lakukan ialah memastikan setiap telefon yang dijual memenuhi standard yang tinggi serta disokong oleh perkhidmatan selepas jualan yang bertanggungjawab,” jelas beliau.
Menyedari kepentingan tersebut, beliau telah memperkenalkan jenama peribadi Boss Mario pada tahun 2022 menerusi kandungan video pendek yang memfokuskan kepada pengalaman keusahawanan, pengurusan syarikat dan perkongsian ilmu mengenai industri telefon pintar terpakai.
Menurut beliau, pengguna lebih yakin membeli apabila mengetahui individu di sebalik sesebuah perniagaan tampil sendiri untuk berkongsi ilmu, membina hubungan dan bertanggungjawab terhadap jenama yang dibawa.
“Ramai pelanggan masih ragu-ragu apabila membeli telefon terpakai kerana bimbang tentang kualiti dan perkhidmatan selepas jualan.
“Apabila mereka mengenali individu di sebalik jenama dan melihat komitmen kami sendiri terhadap setiap pelanggan, keyakinan mereka turut meningkat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2
















































