‘Dari Brunei, Itali dan Kanada, saya sedar siapa sahabat susah senang’

1 hour ago 3

PETALING JAYA – Bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersyukur pelbagai pihak, sahabat dan rakan-rakan termasuk yang berada di luar negara tampil membantu dalam pengumpulan dana RM50 bagi Tabung Solidariti Najib Razak.

Rosmah berkata, beliau tidak menyangka begitu ramai masih mengambil berat Datuk Seri Najib Tun Razak serta mahu melihat bekas Perdana Menteri itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Syukur alhamdullillah. Saya benar-benar terharu. Bukan sahaja sumbangan yang dihulurkan daripada rakan-rakan dan sahabat taulan di sini, tetapi juga dengan rakan-rakan dari luar negara.

“Dari Brunei, Itali, Singapura, dan negara lain, termasuk sejauh Kanada. Mereka telah menghubungi saya untuk menyatakan kegembiraan mereka terhadap perkembangan terkini mengenai Datuk Seri Najib sambil menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan.

“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja. Saya tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau sekali lagi berterima kasih atas atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan daripada semua pihak.

“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang,” katanya.

Terdahulu, tabung berkenaan diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penyelesaian denda berjumlah RM50 juta.

Sebelum ini, UMNO mengumumkan pelancaran tabung khas bagi membantu meringankan beban kewangan Najib untuk melunaskan denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |