PETALING JAYA – Wanita DAP digesa mendapatkan penjelasan daripada wakil parti itu sendiri berhubung isu minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, susulan keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari, mempersoalkan tindakan Wanita DAP yang mendesak minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan sedangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh daripada DAP, merupakan anggota Lembaga Pengampunan berkenaan.
“Kalau mahu telus, kenapa tidak pernah pula mendesak minit mesyuarat ketika Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh pada 2018 didedahkan?
“Ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan pun belum dilantik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wanita DAP menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat Najib.
Ketua sayap itu, Teo Nie Ching, berkata keputusan sebesar itu tidak dibuat secara sembarangan selain menuntut ketelusan penuh mengenai proses terbabit.
Fadhli turut mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang dilaporkan menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai tanda bantahan terhadap keputusan berkaitan tahanan rumah Najib, sedangkan menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan.
“Kalau benar DAP tidak bersetuju sehingga perlu meletakkan jawatan, kenapa seorang sahaja?
“Kalau seluruh DAP masih kekal dalam kerajaan, apa signifikannya selain satu lakonan politik untuk menunjukkan kononnya mereka membantah?” katanya.
Beliau berkata, tindakan menawarkan peletakan jawatan juga menimbulkan persoalan sekiranya Perdana Menteri menolak peletakan jawatan tersebut dan meminta Anthony meneruskan tugasnya.
Fadhli pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya menghormati kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan secara konsisten.
“Rakyat bukan susah sangat nak faham helah politik begini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1



![[VIDEO] ‘Tengku Hassanal tarik upih kelapa sampai tergolek, tergantung adik tu’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/tengku-hassanal-tarik-upih.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)







