Sejak sekian lama, saya cukup teruja melihat gambar-gambar tangkapan ikan sungai pergunungan yang mengagumkan dari Kalimantan, Indonesia. Akhirnya pada Julai lalu, impian itu menjadi kenyataan apabila berpeluang meneroka hulu Sungai Melawi di Kalimantan Barat.
Selepas tiga hari perjalanan yang memenatkan merentasi jalan off-road berliku dan mudik sungai, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan di hulu Sungai Melawi.
Sungai dikelilingi hutan hujan tropika ini benar-benar menjanjikan pengalaman mengilat yang luar biasa. Sepanjang ekspedisi, kami berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan pemangsa yang rakus membaham gewang.
Antara spesies paling banyak ditemui adalah dua jenis sebarau iaitu Hampala macrolepidota bersaiz agam yang biasanya digelar sebagai badong serta saudaranya, Hampala bimaculata atau sebarau dua belang.
Walaupun sebarau dua belang yang kami dapat agak kecil, namun spesies ini tetap memberikan tentangan menghiburkan.
Bujuk (Channa lucius) pula banyak mendiami kawasan hulu sungai, manakala lampam sungai (Barbonymus schwanenfeldii) di sini jauh lebih besar berbanding yang biasa ditemui di sungai-sungai Malaysia.
Turut mencuri perhatian adalah ikan sultan Borneo (Leptobarbus melanotaenia), spesies yang agak asing bagi kami.
Bentuknya seakan-akan ikan jelawat atau ikan sultan di Semenanjung, namun ia memiliki jalur hitam mendatar (lateral line) yang jelas di bahagian tengah badan serta warna sedikit berbeza.
Kami juga berjaya menaikkan kelah. Berdasarkan gambar yang saya hantar kepada rakan-rakan di Mahseer Trust, mereka percaya ikan ini adalah Tor tambra, spesies sering disalah anggap sebagai Tor tambroides.
Di Semenanjung, ikan ini dikenali sebagai kelah, manakala di Sarawak dipanggil empurau.
Hulu Sungai Melawi dipenuhi struktur kayu, kawasan ini merupakan syurga bagi ikan, namun mimpi ngeri bagi pengilat gewang.Menariknya, masyarakat Kalimantan mengenalinya sebagai semah.
Keadaan ini sedikit mengelirukan kerana di Sarawak, nama semah sebenarnya merujuk kepada spesies yang lebih hampir profilnya kepada ikan tengas di Semenanjung.
Secara keseluruhan, sebanyak enam spesies ikan berjaya dipancing menggunakan pelbagai jenis gewang seperti crankbait, spoon, spinnerbait dan popper.
Badong ‘trofi’
Salah satu detik yang paling sukar dilupakan adalah apabila saya berjaya menaikkan seekor badong berstatus ‘trofi’.
Pada awal pagi, saya telah menaikkan seekor sebarau panjang melebihi 50 sentimeter (sm) menggunakan gewang Halco Sorcerer 90.
Tidak lama kemudian, bot menghampiri satu lubuk dipenuhi batang kayu besar yang tenggelam di bawah permukaan air.
Menyedari gewang tersebut berisiko tinggi untuk tersangkut, saya segera menukar kepada gewang permukaan Halco Roosta Popper 80.
Baru beberapa kali ‘pop’, terjadi satu letupan besar, popper diterkam ganas. Dari henjutan padu itu, saya sudah tahu ikan ini bukan calang-calang.
Ikan membenam ke bawah batang kayu besar, sebelum membelit di struktur.
Tekong Rudi, tanpa berlengah terus terjun ke dalam air untuk merungkai tali yang terbelit, sekali gus melepaskan ikan tersangkut itu.
Usahanya berhasil, badong tersebut diukur sepanjang 68sm dan seberat 4.8 kilogram (kg), satu saiz trofi yang menjadi idaman mana-mana kaki mengilat.
Kelah yang perkasa
Namun, tangkapan ikan yang terpahat dalam memori berlaku di sebuah lubuk tenang. Sebelum bot sampai ke lubuk itu, saya ada terlihat satu kuak ikan di permukaan air.
Gewang Halco Sorcerer 68 terus dilontar ke arah kuak ikan tersebut. Selepas tiga kali kayuhan kekili, gewang dihentam dengan begitu ganas sehingga sistem tegangan (drag) yang telah diketatkan maksimum ‘menjerit’ nyaring apabila tali keluar dari gelendung.
Ikan itu melakukan lima kali benaman padu. Setiap kali ia berhenti, saya berjaya mengepam sedikit joran, sebelum ia memecut semula.
Paling merisaukan di sepanjang pertarungan, saya dapat merasakan tali bergesel dengan reba kayu tenggelam.
Penulis melepaskan semula ikan kelah gadang demi kelestarian spesies ini di habitatnya.Kemudian, tali tiba-tiba menjadi kendur. Saya sangka tali telah putus akibat bergesel dengan reba kayu.
Namun beberapa saat kemudian, saya melihat tali bergerak. Apabila dikarau semula, terus tali menegang, rupa-rupanya ikan masih ada.
Ikan itu telah mengelilingi reba tenggelam sebelum berpatah balik ke arah bot sehingga mematahkan dahan tersebut.
Tidak lama kemudian, ia menyusup pula di bawah bot. Saya terpaksa membongkok di sisi bot dengan hujung joran direndam ke dalam air bagi menghalang ia melepasi bahagian belakang bot.
Akhirnya, kami melihat kelibatnya di sisi bot. Kilauan sisik dan bentuk badannya yang gagah perkasa membuatkan jantung saya berdebar, ia adalah seekor kelah saiz gadang.
Namun, pertarungan masih belum berakhir. Setiap kali ia berjaya saya hela rapat ke bot, ia akan kembali membenam.
Selepas beberapa ketika, ia berjaya juga dinaikkan ke dalam bot.
Ikan kelah yang pada awalnya dianggarkan tidak melebihi 10kg itu rupa-rupanya seberat 11.4kg selepas ditimbang.
Inilah diimpikan oleh saya, rekod peribadi yang jarang akan muncul di dalam hidup.
Syurga mengilat
Hulu Sungai Melawi sememangnya antara destinasi mengilat sungai pergunungan paling mencabar dan menarik yang pernah saya kunjungi.
Gabungan hutan hujan yang masih dara, struktur kayu tenggelam mencabar serta spesies ikan perkasa menjadikan setiap lontaran gewang menjanjikan satu pengembaraan unik.
Memancing di sini bukanlah mudah, namun ganjarannya cukup luar biasa.
Saya pasti pada suatu hari nanti, saya akan kembali semula ke bumi Kalimantan Barat yang bertuah ini.

1 hour ago
2
















































