KUALA LUMPUR – Pelumba muda, Wan Adra Mikayla Wan Mohd. Muzri melakar sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pelumba wanita yang akan menggalas cabaran negara pada saingan Ohvale Guangzhou Supercup 2026 di China bermula 17 hingga 23 Ogos ini.
Menurut pengurus pasukan M8 Racing, Nik Azma Nik Day, pemilihan Mikayla adalah berdasarkan merit serta prestasi konsisten yang dipamerkan sepanjang Kejuaraan SIC Ohvale 2026.
Beliau berkata, perlumbaan di China nanti akan menghimpunkan kira-kira 120 pelumba dari 30 buah negara, sekali gus menjadi medan terbaik buat Mikayla menguji kemampuan bersaing dengan pelumba-pelumba dari seluruh dunia.
“Pemilihan Mikayla bukan dibuat semata-mata untuk melengkapkan penyertaan Malaysia. Dia dipilih berdasarkan merit selepas menunjukkan potensi serta prestasi konsisten apabila sentiasa berada di podium dalam Kejuaraan SIC Ohvale 2026.
“Lebih membanggakan, Mikayla merupakan satu-satunya pelumba wanita yang terpilih untuk mewakili Malaysia. Ini peluang besar untuk dia membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa dan membawa nama negara,” katanya.
MIKAYLANik Azma juga merakamkan penghargaan kepada APDCrew Circuit yang tampil sebagai penaja lokasi buat Mikayla untuk melakukan persiapan terbaik sebelum turun mempamerkan tunggangan di China nanti.
“Antara cabaran terbesar Mikayla sebelum ini adalah untuk mencari tempat latihan. Kos untuk berlatih di litar utama juga agak tinggi dan keadaan itu sedikit sebanyak menjadi halangan untuk dia mendapatkan masa latihan mencukupi.
“Dengan sokongan APDcrew Circuit, Mikayla kini mempunyai tempat untuk menjalani latihan dan ia sangat membantu dalam persiapannya membawa cabaran Malaysia,” ujarnya.
Turut membantu persiapan Mikayla adalah Menteri Besar Selangor Incorporation (MBI) yang tampil memberikan tajaan kewangan selain Terengganuku Comey dan kerajaan negeri Terengganu yang menaja Team 4 Racing bagi perlumbaan dalam Malaysia.
Dalam pada itu, Mikayla juga mendapat tunjuk ajar daripada Azlan Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Lan Jawa, iaitu bapa kepada pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan bagi memperbaiki kemahiran serta teknik perlumbaan. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
4
















































