PDRM sedia perkukuh keselamatan penerbangan negara

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri berhubung langkah penambahbaikan segera terhadap kawalan keselamatan penerbangan negara, termasuk penglibatan anggotanya dalam pasukan keselamatan penerbangan (AVSEC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM komited memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan keputusan kerajaan itu.

Katanya, ketika ini PDRM bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan sedang memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

“Ini termasuk skop penugasan, lokasi penempatan, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PDRM berpandangan penglibatan pasukan polis dalam ekosistem keselamatan penerbangan akan memperkukuh keupayaan perkongsian risikan, pengesanan awal, penyelarasan penguatkuasaan serta tindakan segera terhadap sebarang ancaman atau kegiatan jenayah yang cuba mengeksploitasi kemudahan dan prosedur penerbangan.

Beliau berkata, langkah itu akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, merangkumi pengukuhan kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan.

“Pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risiko diyakini mampu memperkukuh keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko serta menutup ruang yang berpotensi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan penerbangan dan keselamatan pintu keluar masuk negara akan terus diberikan keutamaan. Sebarang cubaan menggunakan industri penerbangan sebagai saluran kegiatan jenayah tidak akan dikompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |