Didakwa berkait upacara sembah maharaja, apa hukum makan guna ‘chopstick’?

1 day ago 12

Baru-baru ini, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung hukum penggunaan penyepit makan (chopstick). Hal ini susulan kenyataan bahawa alat tersebut pada asalnya dicipta dan digunakan dalam upacara penyembahan Maharaja China. Sehubungan itu, jika benar penggunaannya mempunyai kaitan dengan syiar atau ritual agama lain, apakah hukum menggunakan penyepit tersebut dalam urusan makan seharian?

Jawapan: Hukum menggunakan penyepit makan (chopstick) adalah harus kerana ia merupakan alat yang bersifat umum tanpa diniatkan sebagai simbol atau syiar mana-mana agama. Larangan hanya terpakai terhadap tasyabbuh (penyerupaan) dalam perkara yang menjadi identiti atau syiar khusus sesuatu agama.

Berdasarkan realiti semasa, chopstick lebih dikenali sebagai alat makan, dan sebahagian daripada identiti budaya masyarakat tertentu.

Malah, penggunaannya telah tersebar secara meluas dalam kalangan pelbagai bangsa di seluruh dunia tanpa dikaitkan dengan sebarang ritual atau amalan keagamaan.

Oleh itu, penggunaan penyepit makan adalah harus, sebagaimana penggunaan sudu, garpu dan pelbagai alat makan lain.

Penting untuk membezakan sama ada chopstick merupakan budaya atau syiar agama tertentu. Berdasarkan penulisan berkaitan sejarah perkembangan penyepit makan, alat ini pada asalnya digunakan sebagai alat makan ringkas, sebelum berkembang menjadi simbol budaya masyarakat tertentu.

Penyepit makan telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya kulinari masyarakat China, Jepun, Korea dan Vietnam di seluruh dunia.

Pada masa kini, lebih daripada satu perlima penduduk dunia menggunakan penyepit makan setiap hari sebagai alat utama untuk menikmati makanan.

Ia menunjukkan bahawa evolusi masakan Asia terus membentuk cara penyepit makan digunakan, bukan sahaja di Asia, malah di seluruh dunia.

Terdapat kajian yang terhasil dari temu bual yang melibatkan informan dari etnik Cina bagi mengenal pasti chopstick bukan sekadar alat makan, bahkan turut berfungsi sebagai simbol identiti budaya masyarakat Cina.

Terdapat dua orang informan yang menyatakan bahawa kepercayaan merupakan unsur identiti budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Sekalipun terdapat kenyataan bahawa chopstick pernah digunakan dalam upacara pelbagai ritual keagamaan tertentu pada zaman silam, hal tersebut perlu dibuktikan dengan fakta sejarah yang tepat.

Tambahan pula, penggunaan chopstick pada hari ini telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas oleh pelbagai bangsa di seluruh dunia tanpa dikaitkan dengan sebarang ritual keagamaan dan melalui proses evolusi identiti membentuk budaya masyarakat berkenaan.

Dalam Islam, tasyabbuh (penyerupaan) tidak meliputi semua perkara yang berasal daripada masyarakat bukan Islam.

Sebaliknya, larangan tersebut tertumpu kepada penyerupaan dalam perkara yang menjadi syiar, identiti atau amalan khusus sesuatu agama.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Tasyabbuh yang dilarang ialah penyerupaan dalam perkara yang menjadi ciri khusus mereka seperti aspek pakaian, penampilan dan perkara-perkara seumpamanya.

Oleh yang demikian, larangan tasyabbuh adalah terhadap penyerupaan dalam perkara yang menjadi ciri khas dan syiar agama mereka bukan dalam urusan adat, budaya atau kebiasaan hidup yang dikongsi oleh masyarakat secara umum.

Oleh itu, tidak semua perkara yang berasal daripada sesuatu bangsa atau tamadun lain dihukum sebagai tasyabbuh yang dilarang.
Berdasarkan realiti semasa, penggunaan chopstick tidak lagi terhad kepada sesuatu bangsa atau agama tertentu, bahkan ia telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas dalam pelbagai negara dan budaya di seluruh dunia.

Oleh itu, statusnya lebih tepat dikategorikan sebagai adat dan kebiasaan masyarakat sejagat, bukannya syiar agama tertentu.
Tiada dalil Islam berkaitan larangan penggunaan alat untuk makan tertentu seperti sudu, garpu dan penyepit makan.

Oleh itu, hukum asal penggunaan pelbagai alat makan adalah harus.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh: “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya.”

Hukum penggunaan chopstick kekal harus selagi tiada bukti sahih bahawa asal-usulnya berkaitan dengan upacara penyembahan Maharaja China. Keharusan ini juga tertakluk kepada syarat penyepit tersebut tidak diperbuat daripada emas atau tulang haiwan yang diharamkan.

Kesimpulannya, penggunaan penyepit makan oleh orang Islam adalah diharuskan.

Walaupun terdapat dakwaan mengenai asal usul penggunaannya, namun realiti semasa menunjukkan bahawa chopstick telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas oleh pelbagai bangsa tanpa membawa sebarang makna keagamaan atau menjadi syiar agama tertentu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |