SEPERTI kuntuman bunga musim semi yang tidak pernah putus mekar, kehidupan penyanyi genit, Ernie Zakri juga terlihat begitu. Waktu bersulam hari, kehidupan peribadi dan kariernya terus disirami nikmat dan kemanisan.
Dari pentas kecil hingga menakluk arena muzik serantau, setiap langkahnya seolah-olah disusun indah oleh takdir, menjadikan namanya antara permata paling bersinar dalam industri hiburan tanah air.
Namun, seperti ombak di lautan, perjalanan seni tidak selamanya tenang. Ada pasang surut. Begitu juga dengan langkah Ernie sejak setahun dua kebelakangan ini apabila ramai merasakan hala tuju muziknya sedikit berselerak.
DIKATAKAN hilang jati diri seperti yang pernah dikenali selama ini, isteri penyanyi Syamel itu cuba mengembalikan ‘roh’ Ernie Zakri menerusi single baharu berjudul Sejambak Bunga karya Hael Husainidan Iqie Hugh.Hilang taring?
Mengulas persepsi tersebut, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu berkata, seorang penyanyi perlu berani keluar daripada zon selesa bagi memastikan perjalanan seni terus subur dan tidak terperangkap dalam acuan sama.
“Setiap artis pasti mempunyai repertoir tersendiri. Kalau kita lihat perjalanan mereka, semuanya mencuba pelbagai bunyi, genre, matlamat dan visi berbeza. Begitu juga saya.
“Saya sentiasa mencabar diri supaya tidak berada di takuk lama. Sama ada percubaan itu menjadi atau sebaliknya, itu cerita kemudian. Paling penting, saya mahu terus berkembang, mekar dan enggan terperangkap di tempat sama.
“Meneroka bunyi baharu dan menampilkan sisi berbeza adalah sesuatu yang sangat baik. Kreativiti tidak boleh berhenti di satu titik sahaja, malah saya juga enggan peminat berasa bosan dengan apa yang saya persembahkan,” katanya kepada HibGlam.
Ernie bagaimanapun mengakui terdapat beberapa keputusan sebelum ini tidak benar-benar menggambarkan kehendak dirinya sebagai seorang pengkarya.
“Ramai cakap perjalanan muzik saya berselerak. Itulah yang saya maksudkan sebelum ini apabila saya tidak benar-benar memegang apa yang saya sendiri mahu lakukan.
“Namun saya tidak menyalahkan sesiapa, termasuk diri sendiri. Saya cuma meletakkan kepercayaan kepada beberapa pihak ketika itu.
“Bagi saya, semuanya sebahagian daripada perjalanan hidup. Saya anggap pengalaman itu cukup indah kerana mengajar saya menjadi lebih kuat dan matang sebagai seorang artis,” ujarnya.
Tidak menafikan pernah kehilangan arah seketika, pelantun lagu Aura itu mengakui fasa bergelar isteri, ibu serta anak seni serentak bukan perjalanan mudah.
“Fasa ini bukan sesuatu yang mudah. Memang ada ketika saya sedikit kehilangan diri kerana perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga anak, menjadi isteri dan dalam masa sama memenuhi tuntutan kerjaya.
“Namun, inilah kehidupan yang saya sendiri pilih. Jadi saya tidak boleh mencari alasan. Sebaliknya, kalau ada perkara yang perlu ubah atau pelajari, saya akan belajar dan terus memperbaiki diri.
“Tidak adil untuk menghukum seseorang hanya berdasarkan apa yang kita lihat di luar kerana setiap insan mempunyai perjalanan dan perjuangan hidup yang berbeza. Kita tidak pernah benar-benar tahu beban yang sedang dipikul oleh orang lain,” tegasnya.
KEMENANGAN dalam sesebuah pertandingan sering dipertikai, Ernie mahu cabar industri menjemput juri dari luar sebagai penilai dalam sebarang acara anugerah di Malaysia.Bangkit semula
Enggan lagi terus diperkatakan sedemikian, Ernie melancarkan single terbaharu berjudul Sejambak Bunga, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh semalam yang membuka lembaran baharu serta simbolik kebangkitan buat penyanyi berusia 35 tahun itu.
Lebih mengujakan, karya tersebut menghidangkan semula warna vokal soprano dan opera yang pernah menjadi identiti kuatnya suatu ketika dahulu, sekali gus membangkitkan rasa rindu peminat terhadap ‘Ernie’ versi awal kemunculannya.
“Sejujurnya, inilah momen yang paling saya nantikan. Inilah perancangan yang sudah lama saya impikan, namun beberapa kali tertangguh atas pelbagai campur tangan dan kekangan.
“Allah mendengar doa, kesabaran dan keberanian saya mempertahankan hak sendiri. Sebab itu saya anggap karya ini sangat istimewa dan mahu menghadiahkannya kepada semua, lebih-lebih lagi mesej lagu ini amat dekat dengan perjalanan hidup saya,” kongsinya.
Mengulas keterujaan peminat apabila menyifatkan dia kembali kepada identiti asal, isteri kepada penyanyi Syamel itu berpendapat setiap manusia melalui fasa kehidupan berbeza dan perubahan itu tidak sepatutnya dianggap sebagai kehilangan diri.
“Bagi saya, tidak wujud istilah Ernie lama atau Ernie baharu. Semuanya adalah fasa kehidupan. Kita belajar, kita membesar dan kita berubah. Kalau dahulu saya berusia sekitar 25 tahun, sekarang saya sudah 35 tahun.
“Sudah tentu banyak perkara berubah termasuk cara saya berfikir dan vokal saya. Apa yang penting, perubahan itu perlu membawa saya menjadi lebih baik, bukannya semakin merosot,” luahnya.
Paling penting ujar pemilik tiga trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu, dia kini kembali memberi perhatian terhadap asas vokal selepas menyedari ada sesuatu yang pernah hilang sepanjang perjalanan kariernya.
“Saya mula berlatih semula menguatkan otot vokal dan memperhalusi teknik nyanyian. Dalam proses itu, saya seperti menemui semula diri sendiri.
“Saya sangat merindui Ernie pada fasa tersebut, seorang yang tidak banyak berfikir, hanya mengejar impian dan melakukan apa sahaja dengan penuh keyakinan. Mungkin kekuatan itulah yang saya mahu hidupkan semula dalam diri saya hari ini.
“Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa. Memang saya tahu ada peminat yang merindui Ernie seperti dulu. Insya-Allah, saya sedang kembali. Semoga perjalanan kali ini dipermudahkan dan segala perancangan berjalan dengan baik,”ungkapnya.
BAGI Ernie, kreativiti muzik tidak perlu terhenti di satu titik.Perubahan
Menutup sesi temu bual, penulis sengaja melontarkan satu persoalan bersifat hipotetikal. Andai diberi kuasa mutlak untuk mengubah satu sistem dalam industri muzik Malaysia demi menjaga kebajikan anak seni, apakah perkara pertama yang mahu dilakukannya?
Tanpa berfikir panjang, Ernie memilih untuk menyentuh aspek penghakiman pertandingan, sesuatu yang disifatkannya mampu mengundang pelbagai persepsi andai tidak ditangani dengan sebaiknya.
Baginya, antara pembaharuan paling wajar dipertimbangkan ialah membuka ruang kepada pengadil dari luar negara, khususnya dalam pertandingan nyanyian atau penciptaan lagu, agar setiap karya dinilai secara lebih bebas dan telus.
“Kalau diberi peluang mengubah sesuatu, saya mahu melihat pertandingan nyanyian atau lagu menggunakan khidmat juri dari luar negara.
“Langkah itu lebih baik kerana dapat mengurangkan persepsi negatif. Industri kita kecil, semua orang saling mengenali dan berkawan. Kadangkala hubungan profesional itu pun boleh disalah tafsir.
“Orang akan cakap, ‘patutlah dia menang, sebab rapat dengan si polan.’ Sedangkan hakikatnya hubungan itu sekadar urusan kerja dan saling menghormati sebagai rakan industri,” tuturnya.
Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) itu mengakui pernah melalui situasi sama apabila kejayaannya dalam sesebuah pertandingan dikaitkan dengan hubungan baik bersama barisan juri.
“Saya pernah lalui perkara itu. Bila menang pertandingan, ada pihak kaitkan saya dengan juri sedangkan saya bersahabat baik dengan ramai orang dalam industri.
“Kalau boleh, panggillah juri luar yang langsung tiada kaitan dengan industri muzik kita. Mereka tidak mengenali penyanyi, komposer atau perkembangan dunia hiburan tempatan. Jadi, mereka akan menilai sepenuhnya berdasarkan mutu karya dan persembahan.
“Apabila penilaian dibuat hanya berlandaskan kualiti lagu serta nyanyian, keputusan itu pastinya lebih diyakini dan dihormati semua pihak,” tutupnya.
Busana HASZ HISHAAM
2 hours ago
3














![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)

































