PUTRAJAYA – Syarikat pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian negara menerusi pengenalan siri baharu kenderaan dan peralatan pembersihan elektrik yang bakal meningkatkan kecekapan operasi pengurusan sisa pepejal serta mengurangkan pelepasan karbon di kawasan perkhidmatannya.
Anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad itu menyasarkan pengoperasian sehingga 242 unit kenderaan elektrik (EV) dan peralatan berkuasa elektrik di seluruh kawasan konsesi menjelang penghujung tahun ini, sekali gus menjadi antara pemain utama dalam memodenkan sektor pembersihan awam negara.
Ia merangkumi jentera penyapu jalan elektrik yang pertama di Malaysia, kenderaan penyelenggaraan jalan elektrik, mesin pemungut sampah elektrik, blower elektrik serta tong sampah pintar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, sehingga kini syarikat telah melaburkan kira-kira RM3 juta bagi pemerolehan, pelaksanaan dan pembangunan EV, peralatan berkuasa elektrik serta teknologi sokongan sebagai sebahagian daripada transformasi operasi syarikat ke arah penggunaan teknologi hijau yang lebih meluas.
“Penggunaan aset baharu ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti operasi, malah membantu mengurangkan pencemaran bunyi dan impak terhadap alam sekitar selain menambah baik keselamatan serta keselesaan petugas barisan hadapan.
“Blower elektrik misalnya, menghasilkan bunyi kurang daripada 80 desibel, jauh lebih senyap berbanding peralatan konvensional.
“Penggunaan kenderaan dan peralatan pembersihan elektrik ini mencerminkan kesediaan Alam Flora untuk menyokong pembangunan perkhidmatan bandar yang lebih hijau sambil mengekalkan standard operasi yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kenderaan dan Peralatan Elektrik Alam Flora di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), di sini hari ini.
Hadir sama menyempurnakan pelancaran tersebut ialah Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid.
Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Alam Flora Driving Excellence Centre (AFDEC) di FIKS, iaitu fasiliti latihan berasaskan simulator bagi memperkukuh kompetensi pemandu, meningkatkan budaya keselamatan dan menyokong kecemerlangan operasi.
Kakitangan Alam Flora menunjukkan cara pengendalian simulasi jentera yang tersedia di AFDEC.Shariman berkata, susulan kejayaan beberapa inisiatif Proof of Concept (POC), syarikat akan terus menilai pendekatan paling berkesan untuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik dalam operasi hariannya.
Malah jelasnya, beberapa kategori aset syarikat seperti motosikal telah pun mencapai penggunaan elektrik sepenuhnya, sambil pihaknya meneroka teknologi pemanduan autonomi, robotik dan penyelesaian digital pintar bagi memperkukuh kecekapan operasi pada masa hadapan.
“POC untuk lori pemadat sampah elektrik (compactor) misalnya, akan dimulakan sebaik sahaja aset tersebut diterima dalam tempoh satu hingga dua bulan. Kami mahu memastikan operasi yang lancar buat masyarakat.
“Alam Flora akan membina stesen pengecasan sendiri di depoh kami dan mengkaji keperluan kapasiti dan bilangan pengecas sebelum memperluaskan penggunaan jentera elektrik,” katanya.
Sementara itu, Loy Sian berkata, inisiatif Alam Flora membuktikan sektor pengurusan sisa pepejal mampu menjadi antara peneraju penggunaan teknologi hijau, selaras dengan aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon dan pembangunan bandar pintar.
Menurutnya, kebersihan bandar bukan sekadar mencerminkan imej sesebuah kawasan, malah menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat, kesihatan awam dan kualiti hidup rakyat.
“Seiring dengan pertumbuhan bandar yang semakin pesat, cabaran dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam turut menjadi semakin kompleks. Justeru, sektor ini perlu terus berkembang melalui penerapan teknologi yang lebih cekap, inovatif dan mesra alam.
“Dalam konteks ini, saya amat mengalu-alukan usaha Alam Flora memperkenalkan aset pembersihan berteknologi hijau sebagai sebahagian daripada transformasi operasinya.
“Saya melihat pelaburan Alam Flora dalam kenderaan dan peralatan elektrik ini sebagai satu langkah yang tepat serta selaras dengan komitmen kerajaan ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengukuhan daya tahan bandar-bandar di Malaysia.
“Saya juga berharap agar inisiatif ini menjadi penanda aras kepada pemain industri lain untuk terus meneroka penyelesaian yang lebih inovatif, cekap dan lestari demi manfaat rakyat serta negara,” ujarnya.
Sebagai pemegang konsesi terbesar di bawah program penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara, Alam Flora menyediakan perkhidmatan menyeluruh di kawasan konsesinya iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Pahang. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2





![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)








































