[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia

1 hour ago 3

PETALING JAYA – Pengorbanan seorang pembantu rumah yang sanggup berjauhan dengan anaknya selama lebih tiga tahun demi mencari rezeki mendapat penghargaan istimewa daripada majikannya apabila keluarganya diterbangkan dari Indonesia ke Malaysia.

Menerusi perkongsian di Threads, majikannya, @Elysyaannys berkata, kejutan tersebut dilakukan selepas mengetahui pembantu rumahnya sudah lama tidak bertemu anak sendiri.

Menurutnya, sepanjang tempoh bekerja bersama keluarga itu, wanita berkenaan banyak membantu dan menjaga anak-anaknya dengan baik.

“Sudah lebih tiga tahun pembantu rumah saya tidak berjumpa dengan anaknya. Terima kasih kerana menjaga anak-anak saya dengan baik.

“Hari ini apabila saya mempunyai rezeki lebih, saya bawa anaknya datang ke Malaysia. Terima kasih Ya Allah,” katanya.

Lebih menyentuh hati, wanita itu memaklumkan pembantu rumahnya meninggalkan Indonesia ketika anaknya baru berusia tiga tahun dan kini kanak-kanak berkenaan sudah berusia enam tahun.

“Dia pernah beritahu, ketika meninggalkan rumah di Indonesia, anaknya baru berusia tiga tahun. Dia pergi ketika anaknya sedang tidur kerana tidak mahu anaknya menangis.
“Sekarang apabila mereka bertemu semula, anaknya sudah berusia enam tahun,” katanya.

Rakaman yang dikongsikan memperlihatkan pembantu rumah tersebut terkejut sebelum menangis dan memeluk ahli keluarganya sebaik menyedari mereka berada di hadapan mata.

Seorang pengguna, @Azira_fadzil berkata, dia turut menangis melihat pertemuan tersebut kerana memahami kerinduan seorang ibu yang terpaksa berjauhan dengan anak demi menjaga anak orang lain.

“Saya menangis melihat video ini. Sedih memikirkan betapa rindunya dia kepada anak sendiri, sedangkan di sini dia menjaga anak-anak majikannya,” katanya.

Sementara itu, @Afifakhairudin berkata, perkongsian berkenaan turut membuatkannya terfikir untuk melakukan perkara sama kepada pembantu rumahnya.

“Sebaknya tengok. Semoga suatu hari nanti saya juga dapat membawa anak-anak pembantu rumah saya datang ke Malaysia.

Dia meninggalkan anak-anaknya untuk bekerja menjaga anak-anak saya di sini. Dia seorang ibu, kita juga seorang ibu dan faham perasaan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |