Trend pengembaraan masa kini lebih fokus kepada landskap keindahan semula jadi

1 day ago 14

PETALING JAYA – Anantara Hotels & Resorts (Anantara), jenama hospitaliti mewah di bawah Minor Hotels pada tahun ini meraikan ulang tahunnya yang ke- 25 dengan membawa misi untuk menawarkan pengalaman unik kepada para pengunjungnya  daripada perspektif yang berbeza.

Minor Hotels adalah peneraju industri hospitaliti global dengan lebih 640 hotel dan resort di 66 buah negara, mengendalikan jenama terkemuka termasuk Anantara, Avani, dan NH Collection.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Anantara bakal memberi pengalaman pengembaraan melalui susunan program yang disusun khas merangkumi landskap bandar, keindahan alam semula jadi dan mercu tanda budaya bagi memberikan makna baharu kepada setiap detik perjalanan.

Bagi pengunjung ke Anantara Desaru Coast Resort & Villas, selain menikmati pengalaman penginapan yang mewah dan eksklusif, tersimpan satu pengembaraan yang menarik yang mana pihak hotel menonjolkan ekosistem paya bakau pada waktu malam.

Dalam penerokaan menaiki bot dengan dipandu oleh teman kembara yang berpengalaman, tetamu hotel dapat menyaksikan sendiri keindahan cahaya kelip-kelip sambil menikmati perkelahan gourmet di atas bot di tengah-tengah ketenangan malam.

Bagi mereka yang sedang merancang percutian Indonesia, Anantara Ubud Bali Resort bakal menawarkan kembara menggunakan jip mini terbuka merentasi sawah padi dan hutan Alas Taro untuk melihat kerbau putih yang dianggap suci serta kawasan pemuliharaan kelip-kelip.

“Pastinya pengalaman ini akan membawa satu kenangan terbaik bagi pelancong untuk di bawa pulang ke kediaman masing-masing nanti,” jelasnya.

Salah sebuah rangkaian Anantara di rantau ASEAN iaitu di Kemboja pula akan membolehkan pengunjung bakal memanfaatkan pengalaman menuai dan menenun sutera dari batang teratai apabila mereka mendaftar masuk ke Anantara Angkor Resort.

“Pelancong akan menikmati sendiri cara menenun cara orang tempatan bagi menghargai warisan budaya negara tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Anantara Mina Ras Al Khaimah Resort di UAE menonjolkan warisan menyelam mutiara di Suwaidi Pearl Farm, Anantara Palazzo Naiadi Rome Hotel di Itali menawarkan kembara bot peribadi di sepanjang Sungai Tiber.

Ini akan  membolehkan tetamu menghayati keindahan fasad bersejarah Rom dengan lebih tenang sebelum menikmati aperitivo di teras panoramik.

Sementara itu, di Anantara New York Palace Budapest Hotel, Hungary, tetamu dibawa meneroka tradisi seni sulaman rakyat Matyó di perkampungan Tard yang diwarisi turun-temurun, disusuli dengan hidangan makan tengah hari tradisional gulyas.

Manakala di Zambia, The Royal Livingstone Victoria Falls menyediakan pengalaman menyaksikan air terjun Victoria dari udara melalui helikopter selama 22 minit sebelum berehat di pulau terpencil di Sungai Zambezi.

Aspek budaya pula ditonjolkan melalui interaksi langsung dengan komuniti setempat. 

Di Jaipur, India, tetamu Anantara Jewel Bagh Jaipur Hotel boleh mempelajari kraf tangan tradisional seperti pembuatan permaidani dan gelang lak daripada tukang mahir di Manpura. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |