PETALING JAYA – Kejayaan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 membawa satu lagi pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai Ikon Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pelantikan itu sekali gus menjadikan atlet berusia 22 tahun berkenaan sebagai inspirasi kepada mahasiswa khususnya atlet muda universiti untuk mengejar kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Surat pelantikan diserahkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah dalam pertemuan bersama Hafizuddin di Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, di Perlis semalam.
Menurut Mohd. Mustafa, pelantikan tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian Hafizuddin, sebaliknya usaha universiti menjadikan kejayaan atlet berkenaan sebagai sumber inspirasi kepada warga kampus.
“Hafizuddin merupakan contoh terbaik bagaimana bakat yang dibangunkan secara berterusan dengan disiplin, kesungguhan dan bimbingan yang tepat mampu membawa seseorang atlet ke tahap antarabangsa.
“UniMAP berharap pengalaman, semangat juang dan perjalanan kejayaan beliau dapat dikongsikan bersama atlet universiti agar mereka lebih yakin, berdaya saing serta mempunyai aspirasi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UniMAP turut komited memperkukuh pembangunan sukan universiti dengan menyediakan ruang dan sokongan kepada mahasiswa berbakat untuk berkembang sebagai atlet berprestasi tinggi.
Jelas beliau, usaha itu selaras aspirasi universiti melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang kokurikulum dan sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Dalam pada itu, Hafizuddin menyifatkan pelantikan sebagai Ikon Sukan UniMAP sebagai satu penghormatan yang amat bermakna.
“Saya berharap dapat berkongsi perjalanan dan pengalaman saya bersama atlet UniMAP supaya mereka terus percaya kepada kemampuan diri, sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian,” katanya.
Hafizuddin yang dikenali sebagai ‘Badang Negeri Perlis’ merupakan anak jati negeri itu yang mula mencipta nama menerusi Arena Angkat Berat SEMSIRA Perlis sebelum melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, Hafizuddin mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih emas dalam kategori 88 kilogram, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara atlet angkat berat muda negara yang disegani.
Lebih membanggakan, Hafizuddin sebelum ini muncul juara Sukma Sarawak 2024 selain memecahkan lapan rekod kebangsaan pada temasya berkenaan. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3


![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)













































