Elak van rosak, penunggang maut dirempuh motosikal

2 hours ago 2

SERDANG – Cubaan seorang penunggang motosikal mengelak sebuah van yang berhenti di lorong kiri Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah lagi motosikal dalam kemalangan di Kilometer 23.9 lebuh raya itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.06 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan sebuah van Mitsubishi L300 dan dua motosikal di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati van berkenaan berhenti di lorong paling kiri daripada empat lorong selepas dipercayai terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan.

“Penunggang motosikal Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki datang dari arah sama dipercayai cuba mengelak van tersebut, namun gagal sebelum terbabas dan terjatuh di lorong tengah.

“Beberapa saat kemudian, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang terbaring di atas jalan sebelum penunggangnya turut terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan kini menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Pemandu van Mitsubishi L300 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |