10 penderma bantu suami, Chui Fund terus ‘membalas’ hingga kini

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Pengalaman melihat 10 individu sanggup tampil menderma darah segar bagi membantu suaminya menjalani pembedahan 17 tahun lalu menjadi antara sebab Leong Chui Fund, 62, terus setia menderma darah sehingga hari ini.

Komitmen hampir empat dekad itu turut mendapat pengiktirafan apabila pesara akauntan itu menerima Anugerah Platinum bagi kategori Penderma Darah Utuh (Perempuan) sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2026 peringkat Pusat Darah Negara (PDN), hari ini. 

Chui Fund berkata, ketika itu doktor memerlukan penderma hadir pada hari pembedahan bagi membekalkan darah segar untuk kegunaan suaminya.

Menurutnya, kesediaan ramai penderma membantu keluarganya meninggalkan kesan mendalam dan mendorongnya untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi pendermaan darah.

“Saya sangat bersyukur kerana suami berjaya melalui pembedahan jantung itu dan ada orang yang sanggup datang membantu.

“Jadi bagi saya, menderma darah ini adalah satu budaya untuk kita memberi kembali kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Majlis Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat PDN 2026, di sini, hari ini. 

Chui Fund berkata, dia mula menderma darah ketika berusia 24 tahun sewaktu berada di Singapura sebelum meneruskan amalan tersebut selepas kembali ke Malaysia.

Kini selepas kira-kira 38 tahun, wanita itu telah melakukan lebih 130 kali pendermaan darah.

Menurut Chui Fund, amalan menderma darah turut menjadi satu bentuk motivasi untuk dirinya menjaga kesihatan termasuk kekal aktif melakukan senaman.

“Buku pendermaan itu sendiri boleh menunjukkan tahap kesihatan kita. Kalau kita sihat, kita boleh menderma. Kalau banyak menderma beerti badan kita dalam keadaan yang sihat. 

“Kami tidak boleh menderma sampai bila-bila. Apabila sudah sampai had umur, orang muda perlu datang menggantikan kami. Kalau tidak mempunyai wang untuk membantu orang lain sekalipun, menderma darah adalah salah satu cara kita boleh membantu,” katanya.

Sementara itu, Ong Wah Pu, 55, yang tidak asing dalam kalangan warga PDN, turut menerima Anugerah Platinum bagi kategori Penderma Darah Utuh (Lelaki) pada majlis sama.

Wah Pu berkata, dia mula menderma darah sejak 1989 ketika baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Selepas 37 tahun, pengarah jualan dan pemasaran sebuah syarikat swasta itu menganggarkan sudah melakukan lebih 150 kali pendermaan darah dan kebiasaannya menderma setiap tiga bulan.

Menurutnya, amalan tersebut kini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya selain memberi kepuasan apabila mengetahui darah yang didermakan dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Pada peringkat awal, saya fikir bukan semua orang mampu memberikan sesuatu dalam bentuk wang, tetapi darah adalah ‘hadiah kehidupan’ yang boleh diberikan kepada orang yang memerlukannya.

“Selepas kali pertama menderma, saya rasa bangga menjadi seorang penderma dan lama-kelamaan ia menjadi satu kebiasaan,” katanya.

Wah Pu berkata, dia sendiri pernah dimasukkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan motosikal dan ketika itu menyaksikan pesakit lain bertarung menanggung kesakitan sehingga ada yang seakan-akan mahu berputus asa.

Pengalaman itu membuatkannya berharap setiap darah yang didermakan bukan sahaja dapat membantu dari sudut rawatan, malah menjadi satu bentuk ‘suntikan semangat’ kepada penerimanya.

“Setiap kali menderma, saya berharap darah saya dapat membawa sedikit tenaga dan berkat kepada mereka yang memerlukannya.

“Macam bateri yang dicas semula, saya harap mereka mendapat semangat baharu untuk terus menghargai kehidupan kerana tanpa kehidupan yang baik, sebanyak mana wang sekalipun tidak akan bermakna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |