KUALA KEDAH – Siapa sangka seorang anak muda berusia 33 tahun kini menjadi tonggak utama memimpin sebuah masjid, sekali gus memberi nafas baharu dalam mengimarahkan Masjid Al Maarufi, Seberang Kota di sini.
Bagi Muhamad Hazamer Muslim, menjadi imam bukanlah cita-cita asalnya, sebaliknya bermula sekadar mengganti kekosongan sebelum terus diberi kepercayaan memikul amanah itu sejak tiga tahun lalu.
Anak jati Kuala Kedah itu berkata, laluan hidupnya lebih terarah kepada bidang pendidikan apabila memiliki Diploma Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab (Terjemahan) dari Kolej Universiti Islam Selangor, selain Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dari Open University Malaysia.
“Sebelum jadi imam, saya mengajar di Sekolah Rendah Islam Al-Azhar. Selepas itu saya turut mengajar al-Quran dan tafsir taranum di beberapa sekolah dan madrasah termasuk Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dan Madrasah Tahfiz Taufiqillah, selain kuliah-kuliah agama di masjid sehinggalah hari ini.
“Memang tak pernah terfikir akan jadi imam tetap. Pada awalnya hanya mengganti tetapi lama-kelamaan rasa serasi dengan bidang ini sebelum isi borang yang dicadangkan jawatankuasa kariah dan teruskan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, cabaran terbesar sebagai imam muda adalah untuk mendekati masyarakat terutama golongan belia yang sering dilihat jauh dari masjid.
Namun, katanya, kelebihan sebagai anak muda memberi ruang kepadanya untuk lebih mudah berinteraksi dan memahami jiwa generasi tersebut.
“Apabila kita sendiri orang muda, kita lebih faham cara mereka. Nak tegur pun kena ada pendekatan. Saya tak nak ada jurang antara imam dan jemaah.
“Alhamdulillah, sekarang kira-kira 60 peratus jemaah di masjid ini terdiri daripada anak muda. Mereka bawa adik-adik dan keluarga sekali,” ujarnya.

3 hours ago
3














![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)

































