SUDAH adat dunia seni, tepukan gemuruh dan cemuhan acapkali hadir seiring. Adakala nama dijulang setinggi langit, ada masa pula menjadi sasaran pelbagai persepsi.
Namun, buat pelakon jelita Fasha Sandha, semua itu hanya sebahagian daripada harga sebuah perjalanan sebagai anak seni.
Baginya, kebahagiaan sebenar bukan terletak pada pujian mahupun kemewahan, sebaliknya lahir daripada kasih sayang keluarga, ketenangan jiwa serta rezeki diberkati.
Prinsip tersebut menjadi benteng buatnya terus melangkah meskipun berdepan pelbagai ujian sepanjang lebih dua dekad berada dalam industri hiburan.
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan itu memilih untuk memandang segala kata-kata negatif sebagai perkara ‘sementara’ sementelah enggan membiarkan dirinya hanyut dengan pandangan orang.
“Saya percaya setiap perkara dalam hidup ini tidak kekal. Apa sahaja, termasuk kecaman, hanyalah seperti angin lalu.
“Apa paling saya jaga adalah kerjaya, komitmen dan disiplin. Itu perkara tidak boleh diganggu sesiapa. Kalau orang mahu kecam, saya okey sahaja. Pada saya, perihal paling penting adalah menjaga komitmen serta disiplin untuk terus berada dalam industri.
“Saya juga tidak pernah menganggap artis milik masyarakat. Ini adalah kerjaya saya sebagai pelakon, sama seperti orang lain mencari rezeki,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi drama Natasha itu, melayan setiap kecaman hanya akan memenatkan emosi sehingga mampu menjejaskan kesihatan mental.
“Kalau kita layan semua perkara, nanti mental boleh koyak. Jadi lebih baik saya tenang .
“Saya bertuah mempunyai suami sangat menyokong, sentiasa mempercayai serta memberi dorongan terbaik.
“Pada saya, biarlah hidup sederhana. Tidak semestinya kaya dengan harta, tetapi cukuplah mewah dengan kasih sayang,” ujarnya.
Mengulas mengenai kesibukan kerjaya, Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2017 itu mengakui jadual padat menyebabkan masa bersama keluarga sedikit terhad, namun suaminya, Aidil Aziz sentiasa memahami tuntutan kerjaya sebagai pelakon.
“Saya sebenarnya tidak mengadu masalah kepada Aidil. Saya lebih banyak meminta maaf kerana kesibukan membuatkan masa bersama dia dan anak-anak semakin berkurang.
“Dia memahami kerana kami sama-sama memilih untuk bersusah dahulu, kemudian bersenang-senang.
“Saya sudah menetapkan sasaran. Apabila usia mencecah 50 tahun nanti, saya mahu lebih relaks, melancong dan menikmati kehidupan. Saya tidak mahu terus bergelut dengan kerja pada usia itu,” ungkapnya.
Paling penting jelasnya, selagi kudrat masih mengizinkan dan rezeki terus mengalir, dia akan bekerja sebaik mungkin, namun mahu mula memperlahankan rentak demi memberi lebih ruang kepada keluarga.
“Rezeki Allah SWT masih tidak putus-putus. Saya anggap sedang menumpang rezeki anak-anak.
“Selagi mampu saya akan terus bekerja, tetapi sedikit demi sedikit saya perlu kurangkan komitmen supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Tahun ini antara tahun paling sibuk kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri panjang. Komitmennya memang mengambil masa cukup lama,” tutupnya
Dalam perkembangan lain, Fasha baru menamatkan penggambaran drama Kasih Yang Terkorban dan kini giat mempromosikan naskhah tersebut menjelang tayangannya kepada penonton.

2 hours ago
3














![[VIDEO] Majikan terbangkan keluarga pembantu rumah ke Malaysia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-07-at-2.02.21-PM.jpeg)

































