JOHOR BAHRU – Taktik sebuah restoran makanan laut terkenal di Taman Sentosa di sini menggaji dan melindungi pekerja asing secara haram terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Johor semalam.
Serbuan menerusi Ops Selera kira-kira pukul 12 tengah hari itu membawa kepada penahanan 37 pekerja warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan dan tukang masak di premis berkenaan.
Operasi dilakukan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Negeri Johor selepas pihaknya menerima maklumat awam serta risikan mengenai kegiatan penggajian pekerja asing secara haram.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, premis terbabit dipercayai bukan sahaja menggaji pekerja asing secara tidak sah, malah terdapat pekerja yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Pemeriksaan kemudian diperluaskan ke kawasan hostel di bahagian belakang restoran yang dipercayai dijadikan tempat penginapan pekerja asing terbabit.
“Hasil pemeriksaan, JIM menahan 29 wanita dewasa warga Myanmar, enam lelaki dewasa warga Myanmar, seorang lelaki dewasa warga Vietnam dan seorang lelaki dewasa warga Bangladesh.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rusdi berkata, dalam serbuan sama, seorang lelaki tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak tiga keping Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan,”katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)













































