KUALA LUMPUR – Mengagumi kredibiliti rakan seperjuangan, penyanyi Datuk Awie menganggap ikon industri muzik Datuk Amy lebih layak digelar sebagai Raja Rock Negara.
Awie atau Ahmad Azhar Othman, 58, berkata, vokalis kumpulan Search yang berpengalaman lebih empat dekad di arena seni itu memberikan sumbangan besar selaku antara pelopor mengukuhkan irama rock dalam landskap muzik tanah air.
“Soal gelaran jangan fikirlah. Siapa nak ambil nombor satu, nombor dua — yang teragung sekali pun ambillah.
“Tapi saya tetap respek yang betul-betul memegang title (gelaran) nombor satu Malaysia iaitu Amy Search.
“Dia pemula rock scene dalam Malaysia ini. Dia yang kita patut angkat sebagai ‘Godfather’ dalam industri muzik rock negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media Awie Rock King: The Last Man Standing di Hotel Premiera, di sini, semalam.
Vokalis Wings itu berkata, sepanjang karier yang kini genap memasuki tahun ke-40, dia tidak pernah terdetik untuk mengejar sebarang gelaran, sebaliknya memenuhi tanggungjawab dengan ikhlas.
“Soal gelaran semua saya tak kisah. Nak bagi saya penyanyi apa-apa benda pun saya tak kisah. Saya tak ada fikir pun.
“Itu sebenarnya bukan tujuan saya untuk (raih) gelaran ini (Raja Rock Negara). Saya tak hairan dengan title itu.
“Apa yang saya nak adalah memberikan satu kepuasan bagi pengalaman dan kebolehan yang saya ada. Saya nak kongsikan kepuasan itu pada setiap persembahan nyanyian,” ujarnya.
Berkongsi pula mengenai Awie Rock King: The Last Man Standing, konsert solo mega itu dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September depan.
Anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media, persembahan solo epik yang menyusuri perjalanan kerjaya seninya bakal menampilkan 35 lagu termasuk bersama penyanyi jemputan.
“Konsert ini bakal menampilkan lebih 25 pemuzik termasuk anggota Wings sendiri yang bakal bersilih ganti mengiringi persembahan selain kemunculan beberapa penyanyi lain termasuk dari Indonesia yang akan diumumkan kelak.
“Sejujurnya saya terharu dengan penghargaan besar penganjur. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang saya lalui sepanjang empat dekad.
“Terima kasih juga kepada penyokong yang tetap di belakang sama ada ketika dengan Wings atau solo. Persembahan ini juga dedikasi istimewa buat semua yang bersama-sama saya dalam pengembaraan ini,” katanya.
Sebarang pembelian tiket atau maklumat tambahan mengenai kedudukan tiket serendah RM98 boleh diperolehi melalui platform iLasso Tickets. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7









![[VIDEO] ‘Santai’ bawa laju di LPT2 undang kecaman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-04-at-6.18.28-PM.jpeg)





































