PETALING JAYA – Pemilik anjing peliharaan Rocky, Rohini Devi berharap siasatan berhubung kematian haiwan kesayangannya itu dijalankan secara telus agar punca sebenar kejadian dapat dirungkai dan keadilan diberikan kepada keluarganya.
Rohini berkata, dia menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain memilih untuk tidak mengulas di luar proses siasatan.
“Saya tidak mahu pergi ke sana sini. Saya tunggu laporan DVS. Bila laporan itu keluar, saya harap keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” katanya pada sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing, Petaling Jaya hari ini.
Menceritakan kejadian itu, Rohini berkata, dia pulang ke rumah selepas dimaklumkan orang ramai bahawa Rocky telah ditangkap.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, dia mendapati anjing peliharaannya sedang dijerut sebelum berusaha mendapatkan semula haiwan tersebut.
Katanya, dia berkali-kali memaklumkan kepada individu yang berada di lokasi bahawa Rocky mempunyai pemilik dan sanggup menyerahkan anjing itu kepada pihak berkuasa.
“Saya kata kalau mahu ambil Rocky, saya sendiri boleh bawa dia. Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi saya merayu banyak kali supaya mereka lepaskan jerutan itu,” ujarnya.
Rohini mendakwa rayuannya tidak diendahkan, malah dia turut cuba memotong jerutan tersebut selepas meminta anaknya mengambil gunting sebelum menggunakan pisau, namun gagal kerana tali itu terlalu keras.
Menurut Rohini, beberapa minit kemudian pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tiba di lokasi. Bagaimanapun, katanya, ketika jerutan itu dibuka, Rocky didakwa sudah tidak bernyawa.
Rohini berkata, dia berharap hasil siasatan yang dijalankan nanti dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Terdahulu, seekor anjing peliharaan dikenali sebagai Rocky dilaporkan mati ketika operasi menangkap anjing liar yang dijalankan MBDK dengan kerjasama penduduk di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada pukul 10.50 malam, 29 Julai lalu.
Insiden itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dan luahan di media sosial, dengan orang ramai tampil menyuarakan pandangan berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5
















































