Mengaku curi duit masjid, surau, lelaki dijel 69 bulan

1 day ago 13

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 69 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan termasuk mencuri wang tunai masjid, surau serta madrasah di sekitar daerah ini berjumlah lebih RM3,000, sejak lima tahun lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, Mu’ammar Raid Abdul Malik, 37, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati telah mencuri wang tunai berjumlah RM3,000 milik Madrasah Al Jariah Kampungku Sayang di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat beribadah pada pukul 2.30 pagi, 25 November 2025.

Dia juga telah mencuri duit tabung masing-masing milik Surau Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling pada pukul 4.45 pagi, 30 Mac 2026 dan Surau Al Karim, Kampung Gedong Lalang pada 6.38 petang pada 31 Mac 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya hendaklah dikenakan penjara dan bolehlah dikenakan denda atau sebat.

Tertuduh turut didapati cuba mencuri duit tabung masjid daripada milikan Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang pada pukul 11.10 malam pada 16 Ogos 2021.

Kesalahan itu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu dengan syarat bahawa apa-apa tempoh pemenjaraan tidak boleh lebih daripada setengah daripada tempoh yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam kawasan Masjid As Syakirin Pasir Puteh tanpa kebenaran pada masa dan tarikh sama serta memasuki Surau Al Mustaqim di Batu Berendam pada 3.22 pagi, 29 November 2025.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh didapati telah memecah masuk Surau An-Naim, Klebang Besar bagi tujuan mencuri pada pukul 4.30 pagi, 28 November 2025 dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga boleh dikenakan denda. Jika kesalahan dimaksudkan hendak mencuri, tempoh pemenjaraan boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Tertuduh juga didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak mengemukakan kad pengenalan apabila diminta pihak polis pada 16 Ogos 2021 dan 18 Julai 2026.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh yang menganggur tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |