Sindiket pasport palsu tumpas lagi, 3 warga Indonesia ditahan

14 hours ago 7

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) sekali lagi menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan apabila menahan tiga warga Indonesia termasuk dalang utama dalam satu Operasi Khas di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras, di sini semalam.

Serbuan bermula kira-kira pukul 11 malam tadi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan serta maklumat awam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai dalang utama sindiket, selain seorang lelaki dan seorang wanita warga negara sama yang dipercayai ahli sindiket.

“Semakan awal mendapati dalang utama memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor pembinaan, manakala dua lagi warga asing didapati tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan turut menemukan dan menyita 119 naskhah pasport yang dipercayai dipalsukan membabitkan 85 pasport Indonesia, tujuh pasport Bangladesh, 22 pasport Myanmar, dua pasport Vietnam, masing-masing satu pasport Nepal serta dua pasport India.

“Turut disita ialah sebuah mesin pencetak, beberapa telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket,” ujarnya.

Katanya, sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang gagal melepasi saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA) atau berstatus tidak layak (unfit).

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan. Bayaran yang dikenakan antara RM80 hingga RM130 bagi setiap naskhah pasport,” katanya.

Tambah beliau, tangkapan itu merupakan kali kelima melibatkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Katanya, dalang utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.  KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |