PETALING JAYA – Aveta Motor Malaysia (Aveta), terus memperkukuhkan kedudukannya di pasaran dengan pelancaran dua model baharu dalam rangkaian motosikal jenis skuter kembaranya, iaitu Aveta Vanguard 180 dan Aveta Vanguard 250 Edisi Terhad.
Pelancaran dua model baharu itu susulan sambutan positif pasaran terhadap Vanguard 250 sejak diperkenalkan pada Januari 2025.
Kajian pasaran berterusan serta maklum balas daripada para penunggang menunjukkan peningkatan permintaan terhadap model Vanguard berkapasiti lebih kecil yang masih mengekalkan reka bentuk tersendiri, tahap keselesaan dan karakter berinspirasikan pengembaraan seperti model berkapasiti lebih besar, namun menawarkan prestasi yang lebih mudah dikendalikan serta lebih sesuai untuk kegunaan harian.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata, diperkenalkan sebagai respons terhadap permintaan tersebut, Vanguard 180 membuka peluang kepada lebih ramai penunggang untuk menyertai keluarga Vanguard sebagai pilihan praktikal bagi memulakan gaya hidup kembara.
“Melalui Vanguard 180, kami menjadikan gaya hidup kembara lebih mudah diceburi oleh penunggang yang mengutamakan keselesaan, versatiliti dan penampilan yang lebih menyerlah di jalan raya tanpa perlu terus beralih kepada motosikal berkapasiti lebih besar.
“Pada masa yang sama, Vanguard 250 Edisi Terhad menawarkan ekspresi yang lebih tersendiri bagi platform ini dengan menggabungkan perincian eksklusif bersama keistimewaan memiliki sebuah model edisi terhad,” katanya.
Tambahnya, Vanguard 250 Edisi Terhad mempertingkatkan platform sedia ada menerusi perincian gaya eksklusif dan pengeluaran terhad kepada hanya 688 unit yang diberikan nombor siri individu.
Vanguard 180 ditawarkan dalam pilihan warna Gray Sandstone dan Neon Terrain yang ditawarkan pada harga RM9,398.
Manakala varian Explorer Pack ditawarkan secara eksklusif dalam warna Frost White serta dilengkapi kotak simpanan berkapasiti 46 liter yang direka khas dan pelindung rangka motosikal bagi meningkatkan lagi keupayaan serta praktikaliti untuk aktiviti pengembaraan dan ditawarkan pada harga RM9,698.
Bagi Vanguard 250 Edisi Terhad pula ianya ditawarkan pada harga RM17,188. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
8
















































