JOHOR BAHRU – Taktik sindiket menggunakan kondominium sebagai stor pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi dadah atau dikenali sebagai vape ‘piu-piu’ terbongkar apabila polis menahan tujuh individu serta merampas dadah dan menyita harta bernilai keseluruhan RM10.8 juta dalam lima serbuan di sekitar negeri ini, Ahad lalu.
Operasi bermula pukul 11 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor di sekitar Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar hasil risikan berterusan terhadap kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, seramai lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun diberkas dalam operasi tersebut.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing serta penemuan 9,000 kartrij vape disyaki mengandungi cecair methamphetamine seberat 82.40 kilogram (kg) bernilai RM4.12 juta di dalam sebuah Honda BR-V.
Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah kondominium di Bandar Medini, Iskandar Puteri pula membongkar stor pembungkusan dan pengisian cecair vape apabila polis merampas 127.55 liter cecair methamphetamine, dua paket kokain seberat 0.41 kg, ketamin seberat 40 gram serta pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan.
Katanya, serbuan ketiga di Taman Sutera Utama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan heroin, pil Erimin 5 dan pil ekstasi, manakala dua lagi serbuan di Mutiara Rini dan Tanjung Agas, Muar menahan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam sindiket berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati suspek pertama bertindak sebagai transporter, suspek kedua merupakan isteri kepada suspek pertama, suspek ketiga menjaga stor pembungkusan dan pengisian cecair vape, suspek keempat sebagai runner, suspek kelima menerima bungkusan peralatan, suspek keenam membantu operasi sindiket, manakala suspek ketujuh dipercayai dalang utama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Chuan Huat berkata, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 210.43 kg dengan nilai pasaran RM10.68 juta yang dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 649,096 penagih jika berjaya dipasarkan. Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala empat lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tambah beliau, polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Ford Ranger, Mercedes-Benz dan Perodua Aruz bernilai RM120,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM10.8 juta. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
7
















































