RCI Tabung Haji: Lima kertas siasatan jenayah komersial dibuka

14 hours ago 9

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes-kes jenayah komersial yang dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) susulan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini polis menerima sembilan laporan polis daripada pihak TH, anak syarikat TH dan orang awam berkaitan kes-kes berkenaan.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Dalam usaha melengkapkan siasatan, tindakan sedang diambil untuk merakam keterangan saksi-saksi terlibat dari dalam serta luar negara di samping mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga lagi individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penyelewengan caj notis penalti (NOP) bernilai kira-kira RM450,000 membabitkan sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat badan berkanun.

Tiga lelaki berusia lingkungan 50-an itu dipercayai memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek di syarikat terbabit.

Semalam, seorang pengarah syarikat reka bentuk direman SPRM kerana disyaki memberi rasuah bernilai RM300,000. 

Suspek dipercayai memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |