MOT pertimbang cadangan kurang cukai jalan kenderaan diese

5 hours ago 2

SEBERANG PERAI – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya, Anthony Loke berkata, cadangan itu telahpun diusulkan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk mencari mekanisme bagi membantu pemilik kenderaan diesel.

“Sebab sekarang ini (pemilik) kenderaan diesel menghadapi harga diesel yang tinggi. Jadi, memang dasar kita ini, harga diesel itu terapung kecuali mereka yang dapat subsidi.

“Kerana kalau kita tak meletakkan harga pasaran kepada harga diesel ini, ini akan menyebabkan lagi banyak penyeludupan. Itu antara masalah kita.

“Jadi, untuk membantu pemilik-pemilik kenderaan diesel ini, yang pertama sekarang kita ada bantuan tunai BUDI Diesel individu sehingga RM400 sebulan. Untuk pemilik-pemilik kenderaan lain seperti bas, lori dan sebagainya, mereka ada tetap dapat ‘fleet card’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di pekarangan Stadium Negeri, di Batu Kawan di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan Aplikasi Pintar JPJ (MyJPJ). Turut menghadiri majlis, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan meneliti cara untuk membantu mengurangkan cukai jalan pemilik kenderaan yang tidak mendapat bantuan ataupun subsidi diesel.

“Bagaimanapun, kita perlukan sedikit masa untuk lihat apakah implikasinya, berapa peratusan daripada cukai itu boleh diturunkan dan berapa hasil yang perlu kita kurangkan ataupun korbankan. Jadi, semua ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |